KUCHING: Sebanyak 28 penghantaran bahan buangan elektrik atau elektrik (e-waste) secara haram ke negara ini berjaya dilumpuhkan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada tahun lepas.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas semalam memberitahu, bagaimanapun penghantaran tersebut dikembalikan ke negara asal.
Antara negara yang terlibat adalah seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, India, Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Hong Kong, Filipina, Singapura dan China.
“Kebanyakan e-waste berkenaan terdiri daripada alat-alat komputer dan tiub elektrik (CRT) dan tindakan mahkamah telah diambil ke atas satu kes pengimportan e-waste secara haram ke negara ini pada 2009,” katanya.
Menurut Uggah, pengarah syarikat berkenaan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM180,000 serta penjara mandatori selama satu hari.
Beliau berkata, penyeludupan e-waste ke negara ini merupakan satu cabaran hebat dalam penjagaan alam sekitar.
“Penyeludupan dan pembuangan e-waste secara tidak teratur merupakan ancaman hebat ke atas alam sekitar di negara ini,” katanya.
Sementara itu Uggah berkata kerajaan akan mewujudkan peraturan yang mewajibkan setiap pengeluar atau pengimport barangan elektrik dan elektronik mengambil balik barangan elektrik dan elektronik yang telah luput atau e-waste daripada pelanggan mereka.
Katanya peraturan itu adalah untuk memastikan e-waste dapat dikitar semula atau dilupuskan secara selamat.
“Untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan pengurusan e-waste, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan kajian dalam penggubalan peraturan atau ‘take back policy’ khusus untuk menggalakkan semua pengeluar atau pengimport barangan elektrik dan elektronik mengambil balik barangan elektrik dan elektronik yang telah luput untuk dikitar semula atau dilupuskan secara selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Pengumpulan E-Waste Peringkat Negeri 2010 di pusat membeli-belah Hills di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Ngusie, Pengarah JAS Ismail Ithnin, Pengarah GVE Strategic Waste Sdn Bhd Sim Yian Chai dan Pengarah Urusan Umicore Belgium Luc Boutet.
Ditanya bila peraturan itu akan mula dikuatkuasakan, katanya beliau tidak meletakkan tempoh akhir kerana banyak rundingan perlu dijalankan dengan pihak industri terlebih dahulu.
Selain itu Uggah berkata, e-waste yang tidak ada nilai komersial perlu dilupuskan di tapak atau premis yang dilesenkan oleh pihak JAS.
Sehingga kini, katanya sebanyak 153 lesen telah dikeluarkan oleh JAS untuk kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual di Malaysia.
“Kemudahan penuh perolehan kembali adalah sebanyak 19 dan kemudahan separa perolehan kembali adalah sebanyak 134 di negeri ini termasuk tujuh yang dilesenkan oleh JAS Sarawak,” katanya.
Namun Sarawak buat masa ini, katanya belum mempunyai kemudahan perolehan kembali penuh dan masih bergantung kepada Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd untuk menguruskan bahan tersebut.
Oleh itu, beliau menggalakkan para usahawan agar mengambil cabaran itu untuk menubuhkan kemudahan tersebut.
“Di Sarawak, dianggarkan 641 tan metrik e-waste terhasil untuk tempoh Januri hingga Oktober tahun ini.
“Oleh itu, saya berharap usahawan-usahawan akan menyahut cabaran ini untuk menubuhkan kemudahan tersebut di negeri ini,” katanya.
by : Sandy Mark Luna. Posted on October 25, 2010, Monday
1 comment:
thank you Dato Sri for using my article in your blog :)
Post a Comment