Monday, October 25, 2010

Pengurusan e-Waste di Malaysia

Kemajuan dalam teknologi pengeluaran barangan elektrik dan elektronik termasuk komputer persendirian, televisyen, alat penghawa dingin, mesin basuh, telefon bimbit dan bateri, meningkat dengan kadar yang cepat sekali. Justeru itu barangan elektrik dan elektronik menjadi cepat luput (obsolete) dalam tempoh yang singkat sebaik sahaja model baru diperkenalkan di pasaran. Di samping itu, barangan elektrik dan elektronik yang lama, rosak dan sebagainya perlu juga dilupuskan. Dengan itu terhasillah buangan elektrik dan elektronik ataupun lebih di kenali sebagai e-waste.

Menurut International Telecommunication Union (ITU), jumlah pelanggan telefon bimbit di seluruh dunia pada tahun 2009 ialah sebanyak 4.6 billion dan angka ini dijangka melebihi 5 billion pada tahun 2010. Hampir 15 billion bateri telefon bimbit dijual setiap tahun. Di Eropah dianggarkan sebanyak 100 juta telefon bimbit dilupuskan setiap tahun dan secara purata pengguna menukar telefon bimbit setiap 18 bulan. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM), 6.22 juta rumah tangga (households) memiliki television pada tahun 2009. Sebanyak 96% rumah tangga di Semenanjung Malaysia mempunyai television manakala peratusan di Sabah dan Sarawak ialah 88%. Di samping itu, 80% lagi rumah tangga memiliki radio. Pada tahun 2009, SKMM juga mendaftarkan 30.4 juta telefon bimbit iaitu, 24.1 juta telefon bimbit pra-bayar dan 6.3 juta pasca bayar.

Berdasarkan trend peningkatan penjualan dan penggunaan barangan elektronik dan elektrik tersebut, amaun e-waste di peringkat global meningkat sebanyak 40 juta tan setiap tahun. Menurut satu laporan lagi, menjelang tahun 2020, jumlah e-waste daripada komputer lama di India akan meningkat sebanyak 500 peratus. Manakala di Afrika Selatan dan China peningkatannya adalah dalam lingkungan di antara 200 hingga 400 peratus. Justeru, pengurusan e-waste kini menjadi satu cabaran besar kepada semua negara termasuk Malaysia.

Pembuangan E-waste secara tidak terkawal atau jika ia tidak diurus dengan baik boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Ini ialah kerana E-waste mengandungi bahan toksik dan logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen, penebat api (fire retardant) dan sebagainya yang boleh mengeluarkan dioksin apabila terbakar. Pada masa yang sama, sisa ini merupakan satu sumber yang berharga dan negara akan rugi jika ia tidak dimanfaatkan dengan baik. Jika buangan ini diurus dengan baik, ianya juga dapat memberi peluang perniagaan yang memberi pulangan yang lumayan, kerana di dalam e-waste terdapat juga bahan-bahan bernilai seperti emas, perak dan lain-lain. Menurut satu kajian, pasaran untuk e-waste di peringkat dunia dijangka meningkat daripada US$ 6.9 bilion pada tahun 2009 kepada US$ 21 bilion pada 2020.
Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia memang serius dalam memastikan e-waste diuruskan secara selamat dan berkesan di negara kita supaya tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat, di samping memperolehi manfaat ekonomi. Pendekatan yang diambil merangkumi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan termasuk mengawal pengimportan E-Waste secara haram, penggalakan aktiviti pemerolehan kembali buangan tersebut dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Dasar dan strategi Kerajaan dalam pengurusan e-waste adalah sepertimana termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang telah dikuatkuasakan mulai 15 Ogos 2005. Menurut Peraturan ini, E-Waste boleh didefinisikan sebagai peralatan elektronik dan elektrikal yang telah luput dan ianya adalah salah satu daripada berbagai jenis buangan terjadual atau scheduled waste dengan kod SW 110. Peraturan ini juga memperuntukkan untuk pemerolehan kembali e-waste seboleh mungkin. E-waste yang tiada nilai komersial perlu dilupuskan di tapak/premis yang dilesenkan oleh pihak JAS.

Sehingga kini, sebanyak 153 lesen telah dikeluarkan oleh JAS untuk kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual di Malaysia, iaitu sebanyak 19 kemudahan penuh perolehan kembali (full recovery facility) dan 134 kemudahan separa perolehan kembali (partial recovery facility) termasuk 7 yang dilesenkan oleh JAS Sarawak Kemudahan ini menjalankan aktiviti mengasingan bahan berguna di dalam e-waste seperti logam, kaca dan plastik dan akhirnya memperolehi logam-logam spesifik seperti tembaga, emas, perak dan sebagainya, untuk dijual pada harga yang lebih tinggi untuk kegunaan-kegunaan lain yang juga akan memberi pulangan hasil yang sangat baik. Semenjak penguatkuasaan Peraturan Buangan Terjadual 2005, kuantiti e-waste yang dikutip untuk dipemerolehan kembali oleh kemudahan-kemudahan yang dilesenkan telah meningkat dari 40,300 tan metrik pada 2006 kepada 134,000 tan metric pada tahun 2009. Di Sarawak pula, dianggarkan 641 MT E-Waste terhasil untuk tempoh Januari hingga Oktober 2010.

Di samping itu, pada 30 Ogos 2007 Kerajaan telah meminda seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana pihak yang didapati bersalah melupuskan e-waste secara haram boleh dikenakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000. Berikutan ini, sepanjang tahun 2009, sebanyak 28 “illegal shipment” telah berjaya ditahan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksias Di Raja. Kesemua “shipment” berkenaan telah dikembalikan ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, India, Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Hong Kong, Filipina, Singapura dan China. Kebanyakan e-waste berkenaan terdiri daripada alat-alat komputer dan CRT (cathode ray tube). Selain itu, tindakan mahkamah telah diambil ke atas satu kes pengimportan e-waste secara haram ke negara ini pada tahun 2009. Pengarah Syarikat berkenaan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM180,000.00 serta penjara mandatori selama satu hari.


E-Waste juga tersenarai sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel Yang Mengawal Pergerakan Merentasi Sempadan Buangan Berbahaya di bawah Annex VIII dengan kod A 1180 dan A 2010, di mana Malaysia adalah parti kepada Konvensyen tersebut. Bagi mengelakkan pengimportan E-Waste secara haram dari luar negara pula, Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan satu garis panduan bertajuk Guidelines for the Classification of Used Electrical And Electronic Equipment In Malaysia, 2008. Garis panduan ini menggariskan bahawa pengimportan E-Waste bagi tujuan pemerolehan kembali dan pelupusan adalah dilarang sama sekali. Walau bagaimanapun, pengimportan Used Electrical And Electronic Equipment masih dibenarkan bagi tujuan guna semula jika barangan berkenaan disahkan masih berfungsi dengan baik atau berumur tidak melebihi 3 tahun daripada tarikh ianya dikeluarkan.

Di samping penguatkuasaan undang-undangan dan penggalakan aktiviti pemerolehan kembali, Kementerian dan pihak JAS dengan kerjasama semua pihak juga mengadakan pelbagai program kesedaran seperti Program Rakan Alam Sekitar dan Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar termasuk isu pengurusan sisa E-waste. Dalam Sambutan Minggu Alam Malaysia 2010 (Peringkat Kebangsaaan) yang telah diadakan pada 21 Oktober 2010, pengurusan E-waste telah diberi tumpuan dengan penyertaan aktif oleh syarikat-syarikat pemerolehan kembali ewaste, pihak kutipan e-waste dan juga syarikat telefon bimbit.
Untuk mencapai keberkesanan pengurusan E-Waste secara menyeluruh, Jabatan Alam Sekitar juga telah mengadakan beberapa kempen kesedaran orang ramai mengenai kitar semula dan pelupusan E-Waste. Kempen yang pernah dan sedang dijalankan menerusi kerjasama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia (PIKOM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. telah diadakan di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Johor. Kempen ini bertujuan dan memastikan E-Waste yang terhasil akan dikutip, dikumpulkan dan tidak dibuang di tapak pelupusan sampah. Ini dilakukan untuk mengelakkan kesan pencemaran jangka panjang akibat dari kandungan logam-logam berat seperti raksa, nikel dan plumbum.
Selain itu, kempen kesedaran mengenai pengumpulan buangan bateri dan telefon bimbit telah dijalankan oleh pihak JAS. Bagi maksud ini sebanyak 440 buah tong kitar semula telah ditempatkan di 200 premis pejabat-pejabat agensi kerajaan termasuk di Putrajaya, agensi swasta termasuk pusat penjualan telefon bimbit, institusi pengajian tinggi serta beberapa buah pasaraya membeli-belah utama. Kempen ini adalah untuk menggalakkan orang ramai meletakkan bateri dan telefon bimbit luput di dalam tong kitar semula untuk untuk tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan secara teratur.


Untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan pengurusan E-Waste, Jabatan Alam Sekitar sedang mengkaji menggubal peraturan atau “take back policy” khusus untuk menggalakkan semua pengeluar atau pengimport barangan elektrik dan elektronik mengambil balik barangan elektrik dan elektronik yang telah luput untuk dikitar semula atau dilupuskan secara selamat. Khususnya di Sarawak pula, sukacitanya saya menyarankan agar kerja sama erat dan kempen pengumpulan E-Waste ini dipergiatkan dengan lebih proaktif di antara JAS Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan mahu pun Pejabat Residen Bahagian. Selain itu saya mencadangkan supaya diperbanyakkan pusat 3P iaitu Pemungutan, Pengumpulan dan Pengangkutan serta mengwujudkan kemudahan penuh atau separa perolehan kembali E-Waste di semua Bahagian Sarawak.
Dalam hubungan ini, saya mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak, GVE Strategic Waste Sdn. Bhd., DNS Waste Management Sdn. Bhd., Umicore Malaysia Sdn. Bhd. dan Hills Shopping Mall, Kuching atas inisiatif dan usaha sama dalam menganjurkan kempen pengumpulan e-waste di negeri Sarawak. Semoga usaha ini akan mencapai matlamat yang disasarkan, di samping menjadi dorongan kepada pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk menganjurkan aktiviti yang serupa ke arah pengurusan e-waste yang lebih cekap dan berkesan di negara ini.

1 comment:

Ghazali said...

datuk, saya sedang menjalankan kajian mengenai e-waste di Malaysia. di manakah saya boleh dapatkan data seperti qty e-wste, profit structure, market forecast dsb.