Wednesday, October 27, 2010

Minggu Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari

Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia dianjurkan setiap tahun bagi memperkasakan program kesedaran alam sekitar dalam mempertingkatkan amalan mesra alam di kalangan setiap individu di Malaysia dengan kerjasama sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Tahun ini tema sambutan adalah: ‘Pemuliharaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’.
Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi MASM kali ini mempunyai maksud yang tersendiri. Seperti yang kita sedia maklum, Putrajaya merupakan sebuah bandar lestari dan mesra alam atau sustainable city mula dibina pada tahun 1995 sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Dibangunkan berdasarkan konsep bandar dalam taman, sejumlah 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan Putrajaya telah dibangunkan untuk kegunaan taman, tasik dan wetland, manakala kawasan selebihnya meliputi kegunaan pejabat-pejabat dan kawasan kediaman. Taman, tasik dan wetland ini dapat menyeimbangkan pembangunan dan pada masa yang sama mengekalkan persekitaran yang sihat. Putrajaya juga menyediakan kemudahan Park & Ride dengan bas NGV serta sentiasa menaiktaraf perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan pergerakan kenderaan bermotor di sekitar Putrajaya sebagai langkah untuk mengurangkan kadar pelepasan gas-gas pencemar.
Alam sekitar yang bersih, sihat dan berkualiti adalah penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Kita harus sedar akan kepentingan khazanah alam sekitar kerana Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi di dunia. Kita juga amat bertuah kerana masih mampu menghirup udara segar kerana kekayaan sumber semula jadi ini.
Namun begitu, kegagalan kita memelihara alam sekeliling boleh menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat sejagat. Masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan yang tidak terkawal atau secara haram dan sebagainya serta fenomena perubahan iklim boleh menyebabkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar dan ekosistem. Gangguan kepada ekosistem ini boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai jenis bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan sebagainya.
Sehubungan itu, Kerajaan telah memperkenalkan dasar dan garispanduan serta menguatkuasakan pelbagai undang-undang berkaitan dengan alam sekitar. Dasar, garis panduan dan program ini perlu dijadikan panduan kepada semua pihak termasuk Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan sumber semula jadi digunakan dengan lestari di samping alam sekitar kita dipelihara. Salah satu program yang diadakan ialah sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang diadakan setiap tahu.
Dalam usaha menjaga alam sekitar, bukan pihak Kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua pihak perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Apa yang penting adalah setiap individu perlu bersedia membuat sedikit perubahan kepada cara hidup seharian dengan amalan-amalan mesra alam. Back to basics, bunyinya mudah, namun amat praktikal. Mari kita mulakan dengan 3 pendekatan asas, iaitu, learn atau belajar, practise atau amal dan share atau kongsi.
First, we learn, second, we practice and third, we share. Sama-samalah sebarkan dan kongsi pengetahuan dan amalan anda dengan kaum keluarga, sahabat handai, jiran, rakan sepejabat dan kenalan. Perkongsian maklumat dan amalan adalah asas dalam membudayakan sesuatu amalan.
Sambutan tahun ini, antara lain, memberi tumpuan kepada pengurusan sisa elektronik atau dikenali sebagai E-waste. Di seluruh dunia terdapat hampir 5 billion pelanggan telefon bimbit pada masa sekarang dan 15 billion bateri telefon bimbit dijual setiap tahun. Di Eropah dianggarkan sebanyak 100 juta telefon bimbit dilupuskan setiap tahun dan secara purata pengguna menukar telefon bimbit setiap 18 bulan. Di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) melaporkan bahawa 6.22 juta rumah tangga (household) di Malaysia mempunyai television pada tahun 2009. Peratusan rumah tangga di Semenanjung Malaysia yang mempunyai television ialah 96% manakala di Sabah dan Sarawak peratusannya ialah 88%. Di samping itu, 80% lagi penduduk memeliki radio. Pada 2009 SKMM juga mendaftarkan 30.4 juta telefon bimbit iaitu, 24.1 juta telefon bimbit pra-bayar dan 6.3 juta pasca bayar.
Peningkatan dalam penggunaan barangan elektronik sememangnya menyebabkan bertambahnya amaun e-waste yang di dikeluarkan di negara ini. E-waste apabila ianya tidak di urus dengan baik dan selamat boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kemudharatan kesihatan manusia kerana ianya mengandungi bahan-bahan toksik dan berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen, penebat api (fire retardant) dan sebagainya yang boleh mengeluarkan dioksin apabila terbakar. Sebaliknya jika buangan ini diurus dengan baik, ianya juga dapat memberi peluang perniagaan yang memberi pulangan yang lumayan, kerana di dalam e-waste terdapat juga bahan-bahan bernilai seperti emas, perak dan lain-lain.
E-waste adalah dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang telah dikuatkuasakan mulai 15 Ogos 2005. Bagi mengurus ewaste secara baik, sebanyak 138 lesen telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk kemudahan-kemudahan pemerolehan kembali buangan tersebut. Semenjak penguatkuasaan Peraturan Buangan Terjadual, kuantiti ewaste yang dikutip untuk dipemerolehan kembali oleh kemudahan-kemudahan yang dilesenkan telah meningkat dari 40,300 tan metrik pada 2006 kepada 134,000 tan metric pada tahun 2009.
Pada 30 Ogos 2007 Kerajaan telah meminda seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana pihak yang didapati bersalah melupuskan e-waste secara haram boleh dikenakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000. Sepanjang tahun 2009, sebanyak 28 “illegal shipment” telah berjaya ditahan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksias Di Raja. Kesemua “shipment” berkenaan telah dikembalikan ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, India, Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Hong Kong, Filipina, Singapura dan China. Selain itui, tindakan mahkamah telah diambil ke atas satu kes pengimportan e-waste secara haram ke negara ini pada tahun 2009. Pengarah Syarikat berkenaan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM180,000.00 serta penjara mandatori selama satu hari.
Bagi menyedarkan orang ramai tentang keperluan pengurusan buangan e-waste yang teratur, kempen kesedaran mengenai pengumpulan buangan bateri dan telefon bimbit telah dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Bagi maksud ini sebanyak 440 buah tong kitar semula telah ditempatkan di 200 premis pejabat-pejabat agensi kerajaan termasuk di Putrajaya, agensi swasta termasuk pusat penjualan telefon bimbit, institusi pengajian tinggi serta beberapa buah pasaraya membeli-belah utama. Kempen ini adalah untuk menggalakan orang ramai meletakkan bateri dan telefon bimbit luput di dalam tong kitar semula untuk untuk tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan secara teratur.
Kejayaan pengurusan alam sekitar secara berterusan memerlukan kerjasama bersepadu daripada setiap lapisan mesyarakat. Justeru, adalah menjadi harapan Kementerian saya supaya tumpuan berterusan diberi kepada usaha meningkatkan lagi kesedaran dan komitmen orang ramai, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan industri bagi mencapai hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan pembangunan lestari atau “sustainable development”.

No comments: