Friday, October 15, 2010

e-Kadaster jadi rujukan negara serantau


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Sistem e-Kadaster yang dibangunkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) merupakan antara sistem ukur tercanggih di dunia dan kini menjadi rujukan negara serantau, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem berkenaan berjaya memendekkan proses pengukuran dan penyediaan pelan hak milik tanah daripada dua tahun kepada dua bulan atau kurang.
Beliau turut melahirkan harapan supaya sistem e-Kadaster menjadi projek ikon kepada Jupem dan akan dapat menghasilkan impak yang besar kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
"Usaha Jupem membangunkan sistem e-Kadaster yang dapat mengurangkan urusan pengukuran dan penyediaan pelan hak milik kepada tidak melebihi dua bulan tidak harus berhenti di situ sahaja.
"Usaha perlu ditingkatkan supaya tempoh masa ini dapat ditambah baik dengan melakukan penyelidikan dan pembangunan secara berkesan.
"Saya percaya dan penuh yakin dengan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan pendekatan berinovasi dan kreatif, tidak mustahil pelan hak milik tanah kekal dapat dikeluarkan dalam tempoh satu hari, Insya-Allah," katanya.
Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-125 Jupem dan melancarkan sistem e-Kadaster, setem korporat dan syiling peringatan, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Timbalannya, Tan Sri Joseph Kurup; Ketua Setiausaha Kementeriannyaa, Datuk Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Jupem, Profesor Surveyor Datuk Dr. Abdul Kadir Taib.
Sistem e-Kadaster merupakan salah satu projek e-Kerajaan yang berjaya dilaksanakan Jupem dengan kos keseluruhan RM287 juta.
Ia telah beroperasi sepenuhnya di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Mei lalu.
Sistem berkenaan menggunakan teknologi jalur lebar tanpa wayar, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), sistem maklumat geografi (GIS), sistem navigasi satelit global dan sistem ukur terkini.
Ketika ini, sistem e-Kadaster telah diintegrasikan dengan projek e-Tanah di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan galian Persekutuan bagi melengkapkan proses pengeluaran hak milik tanah secara bersepadu antara pejabat ukur dan pejabat tanah di Pulau Pinang.
Sumber : Utusan Online

No comments: