Wednesday, August 10, 2011

Water : Essence of Life


Water Essence Of Life bertepatan dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh negara kita dalam aspek pengurusan air bagi pelbagai kegunaan. Selaras dengan tema ini juga, keperluan rakyat untuk mendapatkan bekalan air yang bersih dan mencukupi pada sepanjang masa menjadi keutamaan kerajaan.

Kejadian banjir dan kemarau memberi impak terhadap sumber air negara dan ia merupakan satu cabaran besar yang dihadapi oleh negara kita. Kajian saintifik menunjukkan bahawa fenomena perubahan iklim menyumbang kepada kejadian-kejadian banjir dan kemarau yang semakin ekstrim. Walaupun Malaysia dianugerahkan dengan jumlah hujan yang banyak iaitu, pada purata 3000 mm setahun, namun masih kedengaran lagi bahawa bekalan air tidak mencukupi di kawasan-kawasan tertentu disebabkan oleh taburan hujan tidak sekata dan jumlah curahan hujan yang berbeza.

Justeru, keperluan terhadap bekalan air bersih juga semakin meningkat terutama sekali di kawasan bandar akibat kadar pertambahan penduduk yang semakin ramai yang berhijrah ke bandar, di samping permintaan terhadap bekalan air daripada pelbagai sektor industri. Pembangunan di kawasan pinggir bandar yang dahulunya berpaya dan dipenuhi hutan telah membawa impak sumber air Sebagai contoh pembinaan kawasan-kawasan perumahan telah menyebabkan sesetengah lembangan sungai di kawasan bandar sudah tidak dapat berfungsi lagi bagi tujuan kitaran sumber air atau hidrologi.

Oleh itu, perhatian serius perlu diberi oleh semua pihak yang berkaitan dalam aspek perancangan dan pembangunan yang mapan dalam memastikan sumber air negara sentiasa mencukupi. Malah, usaha yang lebih terancang perlu dibuat bagi mencari dan membangunkan sumber air alternatif seperti sumber air tanah (atau groundwater), di samping melaksanakan aktiviti penggunaan semula air (water recycling) dan penuaiaan air hujan serta membina kolam-kolam takungan. Langkah-langkah ini adalah perlu untuk menampung peningkatan kepada bekalan air di kawasan-kawasan tertentu.

Justeru, cadangan supaya sumber air tanah dijadikan sumber air alternatif terutamanya di kawasan stressed, di pulau-pulau yang tiada bekalan air paip secara langsung dan kegunaan semasa kecemasan wajar diperluaskan lagi. Sumber air bawah tanah ini terbukti dapat mengurangkan tekanan kebergantungan terhadap sumber air permukaan sebagai punca air untuk bekalan domestik, industri dan pertanian. Oleh itu, pembangunan sumber air tanah negara ini perlu dijalankan secara mapan dan holistik.

Sehubungan itu, program yang melibatkan rakyat dalam peningkatan pendidikan, latihan dan kesedaran tentang sumber air perlu juga perlu melibatkan kerjasama daripada sektor awam dan korporat. Sebagai contoh Sambutan Hari Air Sedunia yang telah diadakan pada 12 Mac 2011 yang lalu di Pekan, Pahang boleh dijadikan penandaarasan bagi penganjuran aktiviti gabungan di antara sektor awam dan swasta untuk menjamin pembangunan negara yang bersepadu dan mampan dalam pelbagai aspek demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Harapan saya adalah agar semua pihak memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan pengurusan sumber air adalah berkekalan dan kelangsungan bekalan air yang berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sesungguhnya, melalui keprihatinan masyarakat setempat yang menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan jika didapati berlakunya aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada pencemaran sumber air termasuk pencerobohan kawasan perlindungan air, kawasan konservasi air dan lain-lain. Sumbangan dan penglibatan yang positif, aktif dan proaktif perlu dilakukan secara berterusan demi kesejahteraan generasi masa kini dan generasi akan datang.

Marilah bersama selamatkan sumber air kita!





2 comments:

yusuflaili(Goku) said...

salam sejahtera;
satu kajian amat bagus..pembinaan kawasan tadahan air bawah tanah juga sesuai memandangkan kawasan kita yg banyak berpaya bagi menghadapi sebarang kemungkinan..

Douglas Uggah Embas said...

terima kasih. Kementerian ini akan sentiasa berusaha mencari alternatif sumber air memandangkan air adalah nadi kehidupan.