Monday, August 15, 2011
Menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54: Eratkan Perpaduan
Pada 31 Ogos 2011, kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Sebagai satu aktiviti ke arah sambutan Hari Merdeka tahun ini, YAB Perdana Menteri kita telah merasmikan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Sentral Kuala pada 27 haribulan Julai yang lepas. Elok kita renungkan dan amalkan seruan beliau dalam ucapan perasmian seperti berikut:
“Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik, warna kulit, kaum serta agama perlu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 dengan semangat yang luar biasa, kerana negara ini masih lagi berdepan dengan ancaman luar”.
YAB Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia supaya kibarkan Jalur Gemilang dengan semangat perjuangan. Ini ialah kerana dalam Jalur Gemilang terkandung empat tonggak utama yang mewakili empat jalur iaitu, perpaduan nasional; nilai sanggup berjuang dan berkorban untuk negara; nilai keharmonian dan keamanan serta nilai jati diri, harga diri dan akal budi. Marilah kita sama-sama menyahut seruan tersebut dengan mengkibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Dalam suasana kita menyambut Hari Kemerdekaan dalam bulan Ogos ini, kita tidak boleh lupa akan pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan kita dan rakyat kita dalam mengecapi erti kemerdekaan. Pada masa ini, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan dan perubahan ini tidak datang bergolek begitu sahaja. Sebaliknya, ianya hasil perpaduan, perancangan dan komitmen kerajaan bersama rakyat untuk kesejahteraan hidup yang berkekalan.
Oleh yang demikian, kita tidak boleh memberi laluan kepada usaha-usaha sesetengah pihak yang ingin menghuru-harakan negara ini seperti yang telah berlaku di Libya dan Turki baru-baru ini. Atas sebab itulah kerajaan tidak membenarkan perhimpunan haram yang akan merugikan semua golongan rakyat dari pelbagai aspek. Kita amat arif tentang keadaan negara-negara yang berhadapan dengan elemen perhimpunan haram ini dan kita telah melihat sendiri tahap kemusnahan yang telah dibawa oleh elemen ini. “ A big loss to the nation”.
Bayangkanlah apakah akan terjadi sekiranya kita membenarkan demonstrasi jalanan bagi setiap isu yang dihadapi. Kalau Bersih dibenarkan, kumpulan lain yang memperjuangkan isu lain akan membuat tuntutan supaya mereka juga dibenarkan mengadakan demonstrasi. Cara sedemikian untuk membawa perubahan bukan cara yang sihat kerana ia akan merugikan kita semua dan boleh mengancam keharmonian dan perpaduan negara.
Sesungguhnya, Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat, idea dan luahan hati sebagai pendekatan berorientasikan rakyat iaitu 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Demonstrasi jalanan bukanlah cara untuk menentukan parti mana yang membentuk kerajaan.
Sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan kita mempunyai kebebasan mengundi setiap 5 tahun melalui saluran pilihan raya telus. Dakwaan bahawa proses pilihan raya tidak telus dan korup adalah amat tidak berasas. Bagaimana kita boleh mempunyai 86 ahli parlimen dari pihak pembangkang dan 5 negeri dikuasai oleh pihak pembangkang dalam pilihan raya 2008? . Maka saya menyeru kepada semua agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan haram dan adalah menjadi tanggungjawab anda sebagai penjawat awam untuk menjadi contoh terbaik kepada rakyat Malaysia.
Merdeka!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam sejahtera;
"Eratkan Perpaduan" tema sambutan hari kemerdekaan ke-54 tepat dgn keadaan sekarang..masih ramai rakyat yg belum sedar akan kepedihan hidup dlm keadaan yg huruhara, pecah belah saling curiga mencurigai..pengertian dan penghayatan tema tahun ini mesti boleh diterjemahkan oleh generasi muda dgn seluas-luasnya.
Ya, benar, perpaduan lah kunci utama keamanan dan kemakmuran negara kita.
Post a Comment