Thursday, October 14, 2010

125 Tahun Penubuhan JUPEM dan Pelancaran e-Kadaster

Terlebih dahulu, setinggi-tinggi terima kasih kepada saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia atas kesudian beliau meluangkan masa untuk merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-125 penubuhan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan melancarkan sistem e-Kadaster hari ini. Walaupun YAB Tan Sri sibuk dengan tugas-tugas pentadbiran negara, namun beliau telah menghadirkan diri bersama-sama bagi meraikan salah satu detik bersejarah bagi warga JUPEM dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Sesungguhnya, sepanjang penubuhan 125 tahun, JUPEM telah berjaya mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kepada negara terutama dalam bidang pengukuran dan pemetaan. Sejak mula beroperasi pada tahun 1885, JUPEM telah berkembang secara berperingkat-peringkat ke setiap negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. JUPEM kini mempunyai bilangan personel seramai 5 ribu orang berbanding dengan kurang daripada 20 orang semasa penubuhannya.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan seluruh warga JUPEM kerana telah mencurahkan bakti dan jasa kepada pembangunan negara. Aset terpenting sesuatu organisasi ialah anggotanya. Pencapaian JUPEM ke tahap yang membanggakan hari ini adalah hasil usaha semua warganya yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi dan integriti serta semangat bekerja secara pasukan untuk menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Ini terbukti apabila JUPEM telah berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Tahun 2009 pada Hari Audit Se-Malaysia 2010 baru-baru ini. Tahniah dan Syabas kepada JUPEM atas kejayaan ini.

Kementerian memang menggalakkan setiap Jabatan termasuk JUPEM untuk memantapkan lagi sistem penyampaian masing-masing dengan menggunakan teknologi terkini. Ke arah inilah sistem e-Kadaster dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri telah diwujudkan. Sistem ini merupakan salah satu yang terkini dan termaju dalam bidang ukur kadaster yang mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan satelit.

Sistem e-Kadaster merupakan salah satu projek e-government yang berjaya dilaksanakan oleh JUPEM dengan kos keseluruhan bernilai RM287 juta. Ia telah beroperasi sepenuhnya di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan mulai 1 Mei 2010 yang lalu. Sistem ini menggunakan kemudahan teknologi wireless broadband, ICT, Geographical Information System (GIS), Global Navigation Satelite System dan sistem ukur terkini bertujuan untuk mempercepatkan dan memantapkan lagi sistem penyampaian Ukur Kadaster Negara.

Dengan pelaksanaan sistem e-Kadaster ini, proses pengukuran dipadang dan penyediaan pelan hakmilik tanah dapat dipercepatkan dari dua (2) tahun sebelum ini kepada dua (2) bulan atau kurang. Sehingga kini, JUPEM telah mewujudkan 7.3 juta lot tanah yang disimpan di dalam Pangkalan Data Ukur Kadaster dan Pemetaan Berdigit Kebangsaan (atau NDCDB - National Digital Cadastral Database) dan boleh diakses untuk pelbagai perancangan gunatanah dan pembangunan negara.

Ketika ini projek e-Kadaster telah diintegrasikan dengan projek eTanah di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bagi melengkapkan proses pengeluaran hak milik tanah secara bersepadu di antara pejabat ukur dan pejabat tanah di Pulau Pinang dan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Harapan saya agar JUPEM untuk terus berusaha untuk meningkatkan keupayaan teknologinya dengan matlamat untuk menjadi sebuah badan badan yang terunggul dalam bidang pengukuran dan pemetaan serta dalam pembekalan data geospatial.

Friday, October 8, 2010

Ke Arah Kualiti Udara Yang Bersih

KE ARAH KUALITI UDARA YANG BERSIH

Sesungguhnya manusia memerlukan kualiti udara yang bersih untuk kesihatan dan kesejahteraan hidup. Kita boleh hidup tanpa makanan dalam tempoh melebihi dua minggu, dan tanpa air untuk tempoh beberapa hari tetapi tidak boleh hidup tanpa udara dalam tempoh melebihi empat minit kerana ini akan mengakibatkan kerosakan yang serius kepada otak manusia. Oleh itu, bilangan hari dengan tahap kualiti udara yang sihat dalam setahun telah dipilih sebagai satu daripada MKPI. Ini adalah bagi memastikan orang ramai dapat menikmati kualiti udara yang bersih sepanjang tahun.

Kawalan pelepasan asap hitam berlebihan dari ekzos kenderaan bermotor merupakan salah satu tindakan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang telah dipilih sebagai satu daripada MKPI Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Sasaran yang telah ditetapkan untuk tahun ini adalah sekurang-kurangnya 100,000 buah kenderaan bermotor diperiksa. Sehingga 31 Ogos 2010 sebanyak 164,886 buah kenderaan bermotor telah diperiksa di mana dari jumlah tersebut sebanyak 2,382 buah kenderaan telah dikompaun dan sebanyak 321 buah kenderaan telah dikenakan perintah larangan beroperasi yang di keluarkan oleh JAS kerana tidak mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pada keseluruhannya, peratus pematuhan pelepasan asap hitam oleh kenderaan bermotor adalah 98.6 %;

Sepertimana kita semua sedia maklum bilangan kenderaan di negara kita semakin meningkat pada tahap purata 10% setiap tahun. Jumlah kenderaan yang kian meningkat ini perlu dikawal dari aspek pelepasan pencemar dari ekzos kenderaan bagi menjaga dan mengekalkan kualiti udara supaya sentiasa pada status kualiti udara yang sihat.

Oleh itu, adalah amat penting bagi pemandu atau tuan punya kenderaan serta pengusaha-pengusaha kenderaan perdagangan (fleet operators) sama ada kenderaan diesel mahupun petrol mempastikan semua kenderaan mereka diservis dengan sempurna dan mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan. Penyelenggaraan yang berjadual hendaklah dilaksanakan supaya kenderaan tidak melepaskan gas-gas pencemar dan asap hitam yang berlebihan.

Baru-baru ini saya telah merasmikan Pusat Pengujian Asap JAS Negeri Perak yang merupakan Pusat Pengujian Asap Kenderaan yang pertama dibangunkan di dalam negara ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik sebagai agensi pelaksana dalam membantu JAS menjayakan projek ini seperti yang dijadualkan.

Projek Pertama yang seumpama ini dilaksanakan oleh di bawah peruntukan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe9). Projek ini telah dimulakan pada 17 Disember 2008 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 14 Februari 2010 dengan kos keseluruhan lebih kurang RM 7.3 juta.

Selain itu, projek yang sama juga telah dilaksanakan dalam RMK9 ini iaitu dalam peringkat akhir pembinaan di Mukim Taboh Naning, Daerah Alor Gajah, Melaka yang dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan bulan ini.

Tujuan utama Pusat Pengujian Asap Kenderaan ini dibangunkan adalah bagi menyediakan kemudahan bersepadu bagi pemeriksaan pelepasan asap kenderaan diesel dan petrol serta pemeriksaan bunyi bising motorsikal. Selain itu, juga menyediakan tempat penstoran dan penyimpanan sementara bahan bukti kes-kes mahkamah termasuklah kenderaan yang disita yang dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar.

Menyedari akan kesulitan yang dihadapi oleh pemilik kenderaan yang perlu melakukan ujian semula pelepasan asap dan gas dari kenderaan mereka yang mana pada masakini dilaksanakan di lokasi-lokasi yang tidak tetap seperti di kawasan-kawasan tanah lapang, tapak letak kereta awam dan sebagainya. Di bawah RMK10 Jabatan Alam Sekitar bercadang untuk meneruskan projek ini di setiap negeri di seluruh negara.

Adalah diharapkan dengan pelaksanaan projek ini akan dapat meningkatkan kecekapan pegawai-pegawai JAS dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dan bunyi bising kenderaan bermotor dan juga masalah penstoran sementara bahan bukti kes-kes mahkamah yang di dalam siasatan JAS dapat diatasi. Dengan itu secara langsung akan meningkatkan lagi produktiviti kerja pegawai-pegawai JAS bagi mencapai aspirasi perkhidmatan awam ke arah pelanggan didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Dengan adanya kemudahan ini, saya juga berharap ianya dapat mempertingkatkan lagi kesedaran orang ramai khususnya pemandu dan tuan punya kenderaan tentang tanggungjawab mereka untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar dengan menyelenggara kenderaan masing-masing dengan baik sepanjang masa.

“PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

Terima kasih.

Thursday, October 7, 2010

Pengurusan Sumber Air di Malaysia

Sebagaimana yang kita sedari, pengurusan sumber air di negara kita melibatkan pelbagai jabatan dan agensi yang beroperasi secara sektoral bergantung kepada peranan, tanggungjawab dan perundangan sedia ada yang diguna pakai. Keadaan ini menyebabkan berlaku fragmentasi dalam membuat perancangan dan pembangunan dengan hanya terdapat penyelarasan dan perundingan yang terhad. Disebabkan berlaku fragmentasi antara agensi terutama yang berkait dengan kepenggunaan air, dasar berkaitan juga dilihat tidak seragam. Jika keadaan ini dibiarkan akhirnya ia boleh menjurus kepada persaingan dan konflik. Semuanya ini memberi kesan buruk kepada kemapanan sumber air sekali gus memberi implikasi kepada pembangunan dan keselamatan negara.

Keadaan ini timbul kerana tiada terdapat satu dasar yang jelas untuk menguruskan sumber air negara secara bersepadu agar tidak timbul fragmentasi institusi atau institutional fragmentation yang saya jelaskan tadi. Oleh yang demikian, terdapat keperluan yang mendesak untuk mewujudkan satu dasar yang menyeluruh dan jelas untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan urus tadbir sumber air yang baik.

Kajian Sumber Air Negara yang pertama telah dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency atau JICA pada tahun 1982. Kebanyakannya menyentuh aspek-aspek penawaran dan permintaan (atau supply and demand). Kajian yang kedua iaitu, National Water Resources Study (2000-2050) yang telah dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi pada tahun 1998 menyentuh aspek perancangan, pembangunan dan pengurusan sumber air untuk jangka waktu singkat, sederhana dan jangka panjang. Sebagaimana kajian pertama, kajian ini juga memberi fokus kepada supply and demand .

Disebabkan berlaku fragmentasi dalam struktur pentadbiran dan perundangan dalam pengurusan sumber air negara kita, kerajaan telah mengenal pasti terdapat keperluan segera untuk mengkaji semula dan menggubal urus tadbir dalam pengurusan sumber air dengan tujuan untuk menjamin kemapanan pembangunannya pada masa akan datang. Dengan itu, Kerajaan telah memutuskan untuk mengkaji semula National Water Resources Study (2000-2050). Aspek yang dikaji kali ini, selain supply and demand, meliputi ruang lingkup yang lebih luas mengenai urus tadbir sumber air termasuk penggubalan draf dasar, perundangan dan kerangka institusi pengurusan sumber air. Kajian ini juga menyentuh aspek Decision Support System (DSS) yang akan dapat membantu proses membuat keputusan yang tepat dalam pengurusan sumber air terutama dari segi agihannya.

Untuk memastikan kajian ini dijalankan dengan baik dan berkesan, dua jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menguruskan keseluruhan kajian. Jawatankuasa yang dimaksudkan adalah Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal masing-masing dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran. Manakala ahli-ahlinya pula terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta organisasi bukan kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan sumber air.

Menyentuh tentang output utama kajian iaitu, draf dasar dan perundangan, saya mengharapkan kerjasama semua pihak supaya kedua-dua perkara ini diberi keutamaan supaya ia dapat diluluskan dengan segera dan diterima pakai. Sesi perbincangan serta road show akan terus dijalankan bagi memastikan semua pihak berkepentingan (stakeholders) terutama Kerajaan Negeri yang mempunyai hak ke atas sumber air berpuas hati dengan draf dasar dan perundangan sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Saya percaya bahawa selepas dasar dan perundangan pengurusan sumber air ini diluluskan, ia akan membawa kepada satu dimensi baru dalam pengurusan sumber air negara yang mana saya pasti sumber air akan dapat diuruskan secara berkesan untuk memastikan kemapanannya bagi generasi akan datang. Kita tidak mahu dipersalahkan oleh anak cucu kita atas kealpaan dan kelalaian kita dalam menguruskan sumber air sehingga boleh menjejaskan sumbernya untuk kegunaan mereka kelak.