Monday, February 4, 2013

PERASMIAN BENGKEL INTERAKTIF HERBA

UCAPAN OLEH YB MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Y.B. DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS

BAGI

PERASMIAN BENGKEL INTERAKTIF HERBA

2-3 FEBRUARI 2013

DEWAN MESRA SIMUNJAN



Yang Berbahagia Hajjah Nancy Shukri
ADUN Batang Sadung merangkap Pengerusi MFRDB

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abdul Latif Mohmod,
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Yang berusaha,
Jawatankuasa Penganjur Bengkel Interaktif Herba

Ketua-ketua Jabatan, wakil-wakil masyarakat, Dif-dif kehormat dan ahli Direktorat FRIM

Tuan-tuan dan puan-puan peserta bengkel yang dihormati sekalian.

Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.


1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jawatankuasa Bengkel Interaktif Herba di atas penghormatan yang diberikan kepada saya bagi menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan bengkel ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan di atas kejayaan FRIM, Sarawak Biodiversity Centre (SBC) dan agensi / badan-badan di bawah kerajaan negeri Sarawak di atas penganjuran bengkel yang buat julung-julung kalinya di Simunjan ini. Ucapan yang sama juga buat hadirin dan para peserta bengkel yang telah membuat keputusan bijak untuk hadir ke bengkel perkongsian maklumat ini.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

2. Kita berkumpul di bengkel ini untuk membincang dan mengetahui lebih lanjut tentang herba yang terdapat di negara kita and betapa penting berasas herba untuk kesihatan kita serta untuk ekonomi negara. Penggunaan herba sebagai sumber ubatan, makanan, penjagaan kesihatan dan kecantikan merupakan sesuatu yang telah membudaya dalam kehidupan masyarakat kita. Masyarakat Malaysia termasuk di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum turut kaya dengan pengetahuan berupa amalan penggunaan herba yang diwariskan oleh nenek moyang masing-masing. Selain faktor faedah kesihatan dan ekonomi tersebut, minat masyarakat dunia terhadap produk berasas herba semakin meningkat disebabkan kekhuatiran tentang status keselamatan dan risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan penggunaan produk-produk berasaskan bahan kimia sintetik.

3. Untuk makluman para hadirin sekalian, di peringkat dunia, nilai dagangan sektor herba dijangka meningkat daripada RM 777 bilion pada 2009 kepada lebih RM 2 trilion menjelang tahun 2020, iaitu meningkat tiga kali ganda. Pasaran industri herba tempatan pula berpotensi berkembang sebanyak 15 peratus setahun dengan nilai pasaran negara meningkat daripada RM 7 bilion pada 2010 kepada kira-kira RM 29 bilion pada 2020. Selain produk untuk kegunaan farmaseutikal, penghasilan produk-produk makanan kesihatan berasas herba juga turut berpotensi menjanjikan pulangan lumayan. Nilai pasaran makanan dan minuman di negara ini dianggarkan RM 30 bilion. Industri makanan kesihatan berpotensi tinggi untuk memberi pulangan yang lumayan. Ini ialah kerana makanan kesihatan dianggarkan merangkumi antara 30 dan 40 peratus daripada jumlah makanan dan minuman yang dipasarkan di negara ini. Menyedari hal ini, herba-herba yang dahulunya terbiar mulai mendapat perhatian yang istimewa bukan sahaja dalam kalangan penyelidik malah pengeluar pelbagai produk kecantikan, penjagaan diri, ubatan, makanan tambahan dan lain-lain seumpamanya.

4. Dengan bilangan yang direkod mencecah 2,000 spesies di hutan negara kita yang mempunyai nilai perubatan, herba kini merupakan suatu komoditi bukan berasaskan kayu (non-wood produce), yang amat berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Sungguh pun demikian, 65% bahan mentah untuk penghasilan produk herba negara diimport dari China, India dan Indonesia. Daripada baki 35% daripada sumber tempatan pula, 75% diperolehi dari sumber liar atau hutan, manakala herba yang ditanam pula kebanyakannya adalah untuk makanan. Atas dasar inilah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi menambah nilai aktiviti eksport negara sambil mengurangkan import produk-produk berasas herba. Dalam hubungan ini, Perbadanan Herba Malaysia (MHC) yang ditubuhkan pada 2001 sebagai sebuah anak syarikat penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat tersebut.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Adalah menjadi impian Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak, untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Maju menjelang Tahun 2020. YAB Perdana Menteri telah menggariskan beberapa teras strategik bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Selaku pemacu kelestarian sektor bio-ekonomi negara, potensi herba sememangnya menyerlah sehingga dijadikan sebagai Projek Permulaan (EPP) yang pertama di dalam NKEA Pertanian di bawah seliaan Kementerian Pertanian Malaysia (MOA)..

6. Projek Permulaan (EPP) 1 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA), bermatlamat menghasilkan produk bernilai tinggi dengan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM 2.2 bilion daripada lima herba iaitu tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, hempedu bumi dan dukung anak. EPP 1 ini dijangka menyediakan 1,800 peluang pekerjaan baharu serta melahirkan 300 pengilang. Terbaru saya difahamkan selain 5 spesies yang disebutkan terdapat lima lagi spesies tambahan iaitu mengkudu, roselle, halia, mas cotek, belalai gajah dan pegaga menjadikan 11 spesies kesemuanya sebagai spesies keutamaan untuk RMK10.

7. Buat permulaannya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa kawasan seperti di Durian Mentangau, Dungun (keluasan 406 hektar), Chegar Perah Lipis Pahang (327 hektar), Rantau Manis Gua Musang Kelantan (323 hektar) untuk dibangunkan sebagai ladang herba berkelompok di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bagi mengukuhkan kecemerlangan industri yang mampan dan berdaya maju. Berdasarakan rekod di Jabatan Pertanian Malaysia, keluasan tanaman herba domestik yang berdaftar telah meningkat daripada 303 hektar pada 2005 kepada 543 hektar pada 2010, iaitu peningkatan 11.93% setahun. Hal ini jelas menunjukkan minat yang semakin berkembang di kalangan rakyat negara ini untuk turut sama berkecimpung dalam industri herba. Saya harap warga Simunjan khususnya dan rakyat Sarawak amnya tidak ketinggalan untuk memanfaatkan peluang keemasan ini. Dalam hubungan ini, agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NRE) seperti FRIM beserta lain-lain badan kerajaan samada di peringkat pusat mahupun negeri seperti SBC, badan swasta dan lainnya akan sentiasa menyokong dan komited bagi memastikan hasrat murni kerajaan berjaya dicapai.

Para hadirin yanf saya hormati sekalian,

8. Selain penyaluran dana penyelidikan untuk mendokumentasi pengetahuan tradisi, NRE turut prihatin terhadap isu perkongsian pintar di antara para penyelidik dan pengamal perubatan tradisional. Inisiatif untuk mendokumentasi pengetahuan tradisi masyarakat pribumi Semenanjung misalnya telahpun dimulakan semenjak akhir rancangan Malaysia ke 9 (RMKe-9). Mekanisma perkongsian pintar bagi pengetahuan tradisi yang bersesuaian, selaras dengan tuntutan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) pula kini dalam peringkat semakan akhir untuk dikuatkuasa dan diguna pakai.

9. Produk-produk terbitan R&D hasil teknologi dan kepakaran tempatan sememangnya sesuatu yang kita nanti-nanti dan banggakan. Menerusi kerjasama erat pihak kerajaan dan swasta, pelbagai produk bernilai tambah yang memenuhi keperluan piawaian kualiti, keselamatan dan keberkesanan dijangka dapat dihasilkan dalam masa terdekat, lalu menjana pulangan ekonomi yang disasarkan. Dalam konteks ini, usaha gigih penyelidikan dalam bidang herba yang dipelopori oleh FRIM semenjak penubuhannya pada tahun 1995, telah banyak membuahkan hasil yang membanggakan dan tak mungkin dapat saya bacakan kesemuanya. Saya percaya FRIM akan terus komited untuk membangun dan memperkasa industri herba tempatan. Hal ini terbukti menerusi kesudian FRIM untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan para peserta bengkel biarpun Simunjan dan Kepong beribu batu jauhnya dipisahkan oleh Laut China Selatan.

10. Selain penghasilan produk, kesungguhan FRIM dalam penyediaan khidmat yang terbaik kepada usahawan herba telah diiktiraf oleh Malaysian Biotech Corp dengan anugerah status Bionexus Partner kepada 6 makmalnya. Ratusan usahawan herba yang bernaung di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) sebelum dibubarkan malah Kementerian Pengajian Tinggi telah pernah mendapat sentuhan kepakaran FRIM menerusi pelbagai bentuk program kerjasama. Saya turut difahamkan bahawa ada dalam kalangan usahawan ini telah berjaya mencapai prestasi yang memberansangkan dengan kejayaan mengeksport herba ke pasaran antara bangsa.

Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

11. Saya yakin dan percaya bengkel ini akan memberi manafaat kepada para peserta yang sama ada yang terlibat secara langsung atau pun tidak dengan industri herba. Ambillah peluang keemasan menerusi pembentangan, forum perbincangan mahupun pameran yang telah diatur bagi mengumpul apa jua maklumat berkaitan herba – dari aspek penanaman, pembangunan produk berkualiti malah pewujudan jaringan kerjasama pemasaran untuk memperkasa industri herba negara ke arah penerokaan pasaran global.

12. Adalah menjadi harapan saya agar lebih banyak usahawan dan bakal usahawan herba dari Simunjan khususnya dan Sarawak umumnya akan mendapat manafaat dari teknologi dan prasarana yang ditawarkan oleh pihak FRIM, SBC dan agensi-agensi berkaitan yang lain.

13. Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Bengkel Interaktif Herba 2013.

Selamat berbengkel.

Sekian, terima kasih.

No comments: