Saturday, November 5, 2011

Sejarah Mineral Di Muzium Geologi Ipoh


Ini merupakan lawatan sulung saya ke Kompleks JMG Ipoh yang menempatkan kompleks pejabat dan makmal JMG yang terbesar di Malaysia. Terselit rasa bangga bagi saya kerana dengan siapnya muzium ini, bertambah lagi lokasi pelancongan di bawah naungan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seperti Taman Negara dan Taman Laut, Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Taman Wetlands di Paya Indah, Muzium Perhutanan FRIM di Selayang dan pelbagai lagi.
Saya percaya bahawa tidak ramai yang tahu bahawa Muzium Geologi ini telah didirikan pada tahun 1957 dan didaftar sebagai Muzium Institusi serta disenaraikan sebagai salah sebuah muzium di Malaysia.
Projek menaik taraf muzium ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan kerajaan yang dirancang untuk pelaksanaan di bawah RMKe-9. Bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan rakyat dan diharapkan akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan, khususnya bagi negeri Perak. Tambahan pula negeri Perak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah perlombongan.
Saya percaya membangunkan sebuah muzium yang baik memerlukan persediaan yang rapi dan yang paling utama memerlukan satu komitmen yang bersepadu dari semua pihak yang terbabit. Dengan peruntukan berjumlah RM 1.3 juta sudah pasti kita tidak mampu untuk menyediakan sebuah muzium yang hebat.
Namun, saya percaya sikap komited dan perancangan yang bersepadu, kita berupaya untuk mempamerkan sesuatu yang terbaik. Perkara paling penting, kita dapat menyediakan sebuah muzium yang bermaklumat, memenuhi ekspektasi pengunjung dan tidak akan mengecewakan mereka. Saya berharap usaha diteruskan untuk membangunkan sebuah Muzium Geologi yang lebih besar dan gah, setanding dengan sumbangan sumber mineral kepada pembangunan ekonomi negara sejak awal aktiviti perlombongan.
Namun perkara yang lebih penting bagi merealisasikan tujuan penubuhan muzium itu sendiri. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyentuh tiga perkara utama iaitu:

Pertama: Muzium sebagai gedung khazanah sejarah dan budaya negara.


JMG perlu mempamerkan komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam menyelamat dan memelihara warisan mineral dan geosains Negara serta persekitarannya. Aktiviti mencari, mengumpul, menyelamat dan memulihara perlu dipergiatkan. Ianya perlu disusuli pula dengan usaha memperlengkapkan maklumat dan dokumentasi yang seterusnya akan dibukukan dan diterbitkan untuk sebaran kepada umum. Dengan berbuat demikian barulah muzium dapat dilihat sebagai satu pusat sumber yang bermanfaat untuk orang ramai.
Cadangan saya agar sesiapa yang mempunyai koleksi mineral dan geosains yang menarik dalam simpanan masing-masing, agar menghadiahkan atau meminjamkannya kepada muzium ini kerana ianya lebih bermanfaat untuk dipamerkan di sini daripada disimpan oleh tuan-puan secara peribadi. Saya pasti JMG sangat menghargai sumbangan tersebut dan sebagai tanda penghargaan ia boleh dinyatakan dalam bentuk sijil penghargaan dan juga mencatatkan nama penyumbang pada bahan yang dihadiahkan. Di samping itu, pihak Jabatan pula mestilah sentiasa berusaha dengan lebih gigih untuk menambah koleksi pameran yang sedia ada.


Kedua: Muzium sebagai penyebar maklumat dan mendidik masyarakat


Penyebaran maklumat dan mendidik masyarakat mengenai bidang-bidang tertentu adalah salah satu fungsi utama muzium. JMG perlu merancang pelbagai tema pameran serta menyertai pameran di lain-lain tempat sebagai satu cara penting untuk menarik minat orang ramai ke muzium, sekali gus menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Selain itu, penemuan-penemuan baru perlu diterbitkan dalam bentuk buku, monograf, jurnal dan lain-lain lagi untuk diedarkan dan disalurkan kepada masyarakat keseluruhannya. Dengan cara ini, diharapkan ia dapat melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan dan peka terhadap sejarah dan persekitaran sendiri terutamanya dalam aspek mineral dan geosains. Sesuai dengan perkembangan mengenai geowarisan di mana Geopark Langkawi merupakan contoh yang unggul, saya ingin mencadangkan supaya sudut geowarisan dapat dikembangkan di muzium ini.
Kita perlu berpegang kepada konsep "Jika mereka tidak dapat datang ke muzium, muzium perlu pergi kepada mereka". Justeru itu, pihak yang bertanggungjawab dalam mengelola muzium patut merangka program pameran bergerak seperti ke sekolah-sekolah, memberi ceramah, seminar dan lain-lain lagi. Serentak dengan itu, seminar serta bengkel juga boleh turut diadakan bagi mengajar dan mendidik masyarakat tentang cara dan kepentingan memelihara sumber warisan Negara. Melalui penganjuran pameran ini juga saya harap akan dapat menarik lebih ramai pengunjung seterusnya akan dapat menambah jumlah pelawat dari dalam dan luar Negara ke Muzium ini.


Ketiga ialah: Muzium sebagai pusat penyelidikan.


JMG juga boleh melangkah setapak lagi ke depan dengan mewujudkan program penyelidikan khususnya dalam isu-isu yang berkait rapat dengan muzium. Saya kira cadangan ini selaras dengan hasrat JMG untuk menjadikan kompleks ini sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang mineral dan geosains. Penyelidikan boleh dijalankan bersama dengan agensi lain seperti pusat-pusat pengajian tinggi. Saya difahamkan JMG telah pun bekerjasama dengan Pusat Arkeologi Global USM dalam mengkaji peninggalan sejarah kuno di Kota Tampan.
Tanpa muzium, sejarah dan warisan negara yang tidak ternilai harganya tidak akan dapat dipertahankan. Kita perlu agresif dalam mencetuskan idea-idea yang konstruktif. Muzium ini juga perlu bekerjasama dan berganding rapat dengan lain-lain muzium di negara ini dalam mencerna pemikiran positif masyarakat ke arah pembinaan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, berbudaya dan bermaklumat, seiring dengan fungsi utama muzium sebagai institusi yang berkhidmat kepada pembangunan masyarakat selaras dengan gagasan satu Malaysia.
Harapan saya agar muzium ini menjadi jambatan ilmu yang mampu mengadunkan warisan dan teknologi melalui mekanisme tertentu yang jitu dan mampu membawa perubahan sosial dan pembangunan masyarakat di negara ini.



No comments: