Wednesday, April 21, 2010

KEMPEN MENANAM 26 JUTA POKOK



Dalam usaha kita membangunkan negara adalah penting bahawa kita melaksanakan pembangunan yang seimbang. Kejadian-kejadian kemarau dan banjir yang lebih kerap, perubahan cuaca serta kenaikan paras laut memberi indikasi bahawa dunia sedang mengalami perubahan iklim. Maka kita sebagai warga bumi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bumi ini sentiasa terpelihara. Negara kita terus komited dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta flora dan fauna diberi perhatian di dalam kepesatan pembangunan. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak dan ke arah itu pelbagai kempen akan terus diadakan agar rakyat Malaysia dapat turut serta dalam usaha untuk memelihara alam sekitar dan salah satu kempen yang akan dilaksanakan adalah Kempen Menanam 26 Juta Pokok.




Kempen Menanam 26 Juta Pokok telah diadakan pada 22 April 2010 bersempena dengan Hari Bumi Sedunia. Tarikh ini juga merupakan ulang tahun Hari Bumi Sedunia Ke-40 yang disambut di seluruh dunia. Kita tidak mahu ketinggalan dalam menjadi sebahagian daripada masyarakat dunia dalam memelihara dan memulihara dunia ini untuk kesejahteraan hidup masa kini dan juga pada masa akan datang. Dengan mengadakan kempen ini, saya berharap ia dapat memupuk semangat cintakan kehijauan pokok-pokok dan meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar di hati setiap lapisan masyarakat Malaysia. Sebagai permulaan, sebanyak 16,200 pokok akan ditanam di seluruh Malaysia pada 22 April 2010. Aktiviti ini akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun sehingga tahun 2014. Untuk mencapai sasaran 26 juta pokok, kita perlu sama-sama berganding bahu dan bersatu tenaga bagi mencapai sasaran tersebut. Sekiranya setiap penduduk Malaysia menanam satu pokok, kita mampu mencapai sasaran 26 juta pokok. Marilah kita bersama Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok.

Saturday, February 20, 2010

Selamat Menyambut Tahun Biodiversiti 2010

Sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun 2010 juga adalah merupakan Tahun Biodiversiti Antarabangsa. Ia merupakan tahun yang dirancang untuk dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang merai dan menghargai sumbangan biodiversiti dan kepentingannya. Ini diharapkan akan dapat menimbulkan kesedaran akan pentingnya biodiversiti bukan sahaja di peringkat antarabangsa bahkan di Malaysia juga. Usaha dari semua pihak dengan diterajui oleh NRE sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab adalah amat diperlukan untuk membantu memulihara biodiversiti. Melalui aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan di banyak negara, adalah diharapkan agar komuniti global akan dapat bekerjasama bagi menjamin masa depan yang mapan bagi kita semua.
Manusia juga adalah sebahagian daripada kekayaan kepelbagaian alam semula jadi dan memiliki kemampuan untuk melindunginya dan juga memusnahkannya. Sehubungan itu, Biodiversiti, iaitu kepelbagaian kehidupan di permukaan Bumi, adalah mustahak bagi kelangsungan rangkaian dan sistem kehidupan yang menyumbang kepada kesihatan, kekayaan, makanan, bahan bakar serta perkhidmatan yang menjadi tunjang kehidupan kita semua.

Selamat Menyambut Tahun Biodiversiti 2010.
Biodiversity Is Life
Biodiversiti Is Our Life

Friday, January 1, 2010

Selamat Menyambut 2010

Salam Satu Malaysia.


Bersempena dengan tahun baru 2010 ini, sukacitanya saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua. Marilah kita melangkah masuk ke tahun baru ini dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu untuk melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, cemerlang dan berkualiti.

Kita telah melalui tahun 2009 dengan cemerlang Kita telah mencapai pelbagai kejayaan dan kemuncaknya ialah pengisytiharan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Persidangan Iklim di Copenhagen pada 17 Disember 2009 bahawa Malaysia akan mengurangkan intensiti karbon sehingga 40 % secara sukarela daripada paras tahun 2005 menjelang tahun 2020. Inilah pertama kali negara kita menetapkan sasaran untuk membantu usaha-usaha global menangani fenomena pemanasan global dan isu perubahan iklim. Bagi membantu mencapai matlamat ini, kita juga telah menggubal Dasar Perubahan Iklim Negara.