Friday, January 1, 2010

Selamat Menyambut 2010

Salam Satu Malaysia.


Bersempena dengan tahun baru 2010 ini, sukacitanya saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua. Marilah kita melangkah masuk ke tahun baru ini dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu untuk melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, cemerlang dan berkualiti.

Kita telah melalui tahun 2009 dengan cemerlang Kita telah mencapai pelbagai kejayaan dan kemuncaknya ialah pengisytiharan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Persidangan Iklim di Copenhagen pada 17 Disember 2009 bahawa Malaysia akan mengurangkan intensiti karbon sehingga 40 % secara sukarela daripada paras tahun 2005 menjelang tahun 2020. Inilah pertama kali negara kita menetapkan sasaran untuk membantu usaha-usaha global menangani fenomena pemanasan global dan isu perubahan iklim. Bagi membantu mencapai matlamat ini, kita juga telah menggubal Dasar Perubahan Iklim Negara.


Selain itu, kita juga telah berjaya melaksanakan projek-projek tebatan banjir di seluruh negara. Begitu juga kejayaan kita dalam melindungi kepelbagaian biodiversiti negara terutama usaha kita dalam mengurus sumber-sumber asli termasuk hutan, air dan mineral secara lestari, di samping melindungi hidupan liar daripada kepupusan. Dalam hubungan ini, sebagai langkah bersepadu untuk menangani isu-isu alam sekitar terutama dari segi meningkatkan kesedaran awam terhadap peri pentingnya pengurusan alam sekitar dengan pembabitan masyarakat daripada peringkat akar umbi lagi, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan Rakan Alam Sekitar pada 4 Jun 2009 di Muar, Johor. Pelengkap kepada semua program dan aktivti ini sepanjang tahun 2009 ialah usaha-usaha NRE dalam Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (Ministerial Key Results Area - MKRA) dan kejayaan kita dalam mencapai sasaran-sasaran Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators - KPI) yang ditetapkan dalam bidang-bidang ini bagi tahun 2009.
Saya merasa amat bangga dengan prestasi dan kejayaan ini yang sememangnya adalah hasil perancangan yang rapi, pelaksanaan mengikut jadual dan pemantauan yang berterusan. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga NRE.

Namun begitu, saya percaya tahun 2010 akan merupakan tahun yang lebih mencabar. Kita perlu terus memberi tumpuan kepada MKRA yang meliputi pelaksanaan projek tebatan banjir, udara yang bersih dan pengurusan harta pusaka serta terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran-sasaran KPI yang ditetapkan dalam bidang-bidang ini. Di samping ini, kita juga hendaklah menyediakan rangka kerja dan pelan tindakan yang berkesan untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sepertimana diumumkan oleh YAB Perdana Menteri kita di Persidangan Copenhagen tersebut. Saya juga ingin menyeru agar aktiviti-aktiviti melalui Rakan Alam Sekitar diperhebat lagi serta dipelbagaikan dengan penambahan dari segi bilangan kawasan Parlimen yang mengambil bahagian seperti yang menjadi objektif pelaksanaannya. Selain itu, kita juga perlu berusaha untuk merangka Indeks Prestasi Alam Sekitar (Environmental Performance Index) selaras dengan hasrat kita untuk mencapai keseimbangan yang optima di antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran ini dan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan bagi tahun 2010, saya berharap setiap warga NRE akan terus memberi kerjasama dan berusaha dengan yang lebih gigih serta menunjukkan komitmen, disiplin dan integriti yang tinggi. Amalan kerja secara berpasukan haruslah diterapkan lagi di dalam semua aktiviti sama ada di peringkat Kementerian mahupun jabatan selaras dengan matlamat 1 NRE dan seterusnya ke arah mencapai konsep 1 Malaysia seperti yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan April 2009. Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, apa yang penting ialah kita harus terus memberikan perkhidmatan yang terbaik yang mencapai standard dunia selaras dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Selaras dengan semangat Tahun Baru, marilah kita semua mempertingkatkan azam untuk membawa Kementerian serta negara kita ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. Saya yakin dengan berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni, negara kita amnya dan NRE khususnya akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 kepada semua warga NRE khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Semoga tahun 2010 akan merupakan satu lagi tahun yang cemerlang bagi kita semua.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010.

No comments: