Sesungguhnya, Isu-isu alam sekitar semakin hari semakin mencabar dan usaha-usaha untuk menanganinya memerlukan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan yang tidak terkawal atau secara haram, pengurangan sumber semula jadi dan sebagainya, telah mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Tragedi tanah runtuh, banjir kilat, pencemaran udara, air dan darat, pemanasan global dan perubahan iklim dan sebagainya adalah kesan ketidakstabilan ekosistem yang berpunca daripada aktiviti manusia yang sering kali dikaitkan dengan ‘pembangunan’. Isu-isu alam sekitar inilah yang merupakan antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani oleh kita semua.
Kerajaan memang komited terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar negara. Pelbagai dasar dan perundangan termasuk peraturan-peraturan serta program telah diperkenalkan bagi mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Antara dasar-dasar ialah Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perhutanan Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Mineral Negara dan Dasar Perubahan Iklim Negara. Manakala undang-undang termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Perhutanan Negara dan Akta Perlindungan Hidupan Liar juga dikuatkuasakan. Dasar, perundangan dan garis panduan sedia ada ini memberi panduan kepada semua pihak termasuk agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, sektor industri dan masyarakat bagi memastikan sumber asli negara digunakan secara lestari, di samping memelihara alam sekitar kita.
Justeru, bagi meningkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan, Kerajaan dalam waktu terdekat akan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sahaja tidak mencukupi untuk membendung semua masalah alam sekitar. Setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda, berpendidikan tinggi atau tidak, perlu berganding bahu dan bersatu tenaga untuk memulihara dan melindungi alam sekitar. Kita hidup dalam lingkungan alam sekitar yang sama, menghirup udara yang sama, berkongsi menggunakan sumber asli yang sama. Oleh itu, kita tidak ada tempat selain bumi ini. Jika bumi hancur, maka hancurlah manusia. Maka janganlah kita berpeluk tubuh membiarkan bumi menahan segala pencerobohan alam sekitar. Saya menyeru agar kita sama-sama berganding bahu memikul tanggungjawab menjaga bumi ini.
Sungguh pun begitu, hakikatnya ialah kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar masih kurang walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan. Bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama-sama dengan jabatan-jabatannya menjalankan program dan kempen kesedaran alam sekitar yang melibatkan pelbagai kumpulan sasaran seperti pelajar, guru, masyarakat desa dan bandar, badan bukan kerajaan dan lain-lain. Antara program-program yang dijalankan adalah
- Program Anugerah: Bandar Lestari, Sekolah Lestari dan Anugerah Langkawi;
- Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT);
- Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS);
- Penerbitan Majalah Era Hijau, IMPAK, Buku Climate Change in Malaysia dan brosur You Can Fight Climate Change Today;
- Kempen “Tabiat takpa, bumi binasa” melalui media massa;
- Pameran Alam Sekitar; dan
- Persidangan dan bengkel bersama lain-lain kementerian, agensi, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
Selain itu, NRE telah melancarkan Program Rakan Alam Sekitar untuk mempelbagaikan usaha menangani isu alam sekitar. Melalui program ini, pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi diberi peranan untuk menerajui usaha-usaha secara bersepadu dengan anggota masyarakat tempatan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan dalam memulihara alam sekitar.
Harapan saya agar semua pihak memainkan peranan yang lebih proaktif agar usaha-usaha penjagaan alam sekitar negara mencapai kejayaan. Mulakanlah dengan mengamalkan kehidupan harian kita berpandukan ciri-ciri kehidupan yang mesra alam seperti mengitar semula, menanam pokok, berkongsi kenderaan serta menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Pendingin hawa pula perlu ditentukan pada suhu yang sesuai agar tidak terlalu sejuk. Perlu diingat, usaha membuat perubahan walau sekecil manapun adalah lebih baik berbanding sekadar berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa atau menyalahkan orang lain. Di samping itu, saya juga ingin melihat penglibatan yang lebih besar dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia tahun ini termasuk Anugerah Langkawi dan Program Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar.