Tuesday, May 10, 2011

Biodiversiti Tioman : Tingkat Taraf Sosio Ekonomi Masyarakat Setempat

Kekayaan sumber biodiversiti marin di Pulau Tioman wajar dimanfaatkan untuk kesejahteraan hidup komuniti setempat. Saya menyokong kerjasama antara Jabatan Taman Laut Malaysia dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan badan bukan kerajaan seperti Reef Check Malaysia dalam penambahbaikan pengurusan taman-taman laut dan memperkenalkan amalan rekreasi terbaik seperti penyediaan garis panduan aktiviti snorkelling. Melalui usaha ini, pelbagai pihak terutamanya komuniti tempatan dilibatkan secara aktif dalam pengurusan taman laut dan program-program sara hidup alternatif bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi komuniti tempatan.

Di Taman Laut Pulau Tioman terdapat lebih kurang 221 spesies batu karang, 233 spesies ikan karang dan 61 spesies hidupan marin lain telah direkodkan. Kepelbagaian terumbu karang dan hidupan marin ini mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dan sumber pendapatan kepada komuniti tempatan.

Sesungguhnya usaha memulihara sumber asli dan alam sekitar sentiasa diberi keutamaan oleh Kerajaan. Menyedari kepentingan untuk memelihara biodiversiti marin ini, Jabatan Taman Laut Malaysia telah ditubuhkan pada 16 Julai 2007 di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Jabatan ini bertanggungjawab mengurus dan mentadbir 42 perairan taman-taman laut bagi melindungi serta mengekalkan biodiversiti yang disokong olehnya.

Biodiversiti marin perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar boleh menyumbang kepada ekonomi negara khususnya dalam sektor ekopelancongan yang dianggarkan sebanyak RM600 – RM 800 juta setahun. Dianggarkan seramai 500,000 pelancong mengunjungi taman-taman laut pada setiap tahun, di Pulau Tioman sahaja, seramai 200,000 orang pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke pulau ini setiap tahun.

Kehadiran pelancong-pelancong ini akan menambah pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk pulau ini. Kerajaan telah mengenalpasti Pulau Tioman sebagai salah satu tapak yang akan dipromosikan sebagai destinasi ekopelancongan di bawah inisiatif Malaysia Mega Biodiversiti Hub di Malaysia.

Melalui usaha menyeluruh untuk meningkatkan ekopelancongan di Pulau Tioman, penduduk tempatan berpeluang untuk terlibat dengan lebih aktif dalam aktiviti yang berasaskan ekopelancongan seperti nature guide, snorkelling dan dive guides serta menyediakan kemudahan penginapan dan sebagainya.

Semoga, penduduk tempatan dapat menikmati peluang ekonomi yang lebih baik di samping meningkatkan tahap sosio-ekonomi di pulau ini. Selain itu, keupayaan sumber manusia dan kelengkapan dipertingkat bagi tujuan memulihara, mengurus dan mengawalselia aktiviti-aktiviti di kawasan taman laut agar aktiviti-aktiviti tersebut tidak memberikan kesan negatif kepada hidupan marin.

No comments: