Sunday, May 30, 2010

Utusan Online @ Pembersihan tumpahan minyak selesai 3 hari lagi

KOTA TINGGI 30 Mei - Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan Pengerang dan pesisir pantai sekitarnya di sini dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, sehingga kini kerja-kerja pembersihan pencemaran itu sudah 20 peratus selesai yang melibatkan lapan tan metrik minyak yang tumpah berjaya dikumpulkan.

Douglas Uggah Embas meninjau persisiran Pantai Pengerang, semalam,
iaitu salah sebuah kawasan  yang begitu teruk dicemari tumpahan minyak.
  - UTUSAN/Nan Hidayat
________________________________________

Beliau berkata, baki 80 peratus kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk syarikat kapal berkenaan. "Seperti yang kita ketahui, tumpahan tersebut menyebabkan nelayan di sekitar kawasan tidak dapat turun ke laut mencari rezeki dan saya juga sedia maklum bahawa mereka menanggung pelbagai kerugian termasuk peralatan penangkapan ikan dan sebagainya. "Namun tumpahan minyak berkenaan juga memberi rezeki kepada mereka kerana nelayan terbabit dilibatkan sama dengan kerja-kerja pembersihan dan dibayar RM50 sehari. Ini mampu memberi sumber pendapatan kepada mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Kampung Langkah Baik untuk meninjau sendiri beberapa kawasan yang tercemar akibat tumpahan minyak berkenaan di sini hari ini.

Selasa lalu, kapal MV Waily yang berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines yang dalam perjalanan ke Hong Kong berlanggar dengan Kapal Bunga Kelana 3 yang berdaftar di Pelabuhan Klang. Kejadian berlaku di lokasi empat batu nautika barat daya Tanjung Stapa, Pengerang dan kira-kira 3.7 batu nautika dari perairan Singapura yang melibatkan tumpahan 2,000 tan metrik minyak mentah. Akibat tumpahan berkenaan, kira-kira 1,400 nelayan di kawasan berkenaan terjejas pendapatannya selepas tidak boleh ke laut mencari rezeki. Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati kerja-kerja pembersihan kawasan giat dijalankan dengan melibatkan nelayan setempat. Malah permukaan air laut di sesetengah kawasan seperti di Kampung Langkah Baik yang dilaporkan kelihatan hitam akibat diselaputi minyak juga kian pulih.

Menurut Douglas, pemantauan di kawasan terbabit akan dijalankan setiap hari bagi memastikan tiada 'gelombang kedua' akibat saki baki tumpahan minyak berlaku. Beliau berkata, jika kejadian itu berlaku, pihaknya dengan bantuan pelbagai agensi telah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. "Kita mengharapkan gelombang kedua itu tidak akan terjadi. Namun sekiranya berlaku, kita sudah bersedia. Pemantauan dibuat setiap hari untuk memastikan kedudukan tompok minyak yang masih ada. "Apabila pihak kami mengesan tompokan minyak berkenaan, kami akan ambil tindakan segera untuk memastikan ia tidak merosakkan alam sekitar dan menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk setempat," katanya.

Ditanya soal pampasan, beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk mengambil pendekatan yang sesuai.

No comments: