Wednesday, February 11, 2009

Sumber Hutan Untuk 1Malaysia

Hutan memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara sejak dahulu lagi. Hutan telah membekalkan kita semua dengan sumber makanan yang cukup mewah, menyimpan dan menghasilkan herba untuk tujuan rawatan dan perubatan. Hutan juga menjadi tonggak utama dalam penstabilan ekosistem terutamanya dalam menangani isu perubahan iklim. Adalah penting bagi kita untuk look beyond the trees kerana sumber hutan bukan sahaja merangkumi kayu-kayan bahkan juga hasil hutan lain yang turut menyumbang dalam penjanaan pendapatan negara selama ini.

Hasil hutan bukan kayu seperti herba dan tumbuhan ubatan, rotan dan buluh, buah-buahan, ulam-ulaman dan ornamental mempunyai nilai yang signifikan. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk kita memberi perhatian serius terhadap khazanah-khazanah berharga ini dan memastikan agar pengeluarannya diuruskan secara berkekalan bagi menjamin bekalan yang berterusan. Di samping itu, peningkatan nilai ekonomi dari produk bukan kayu akan dapat meningkatkan pendapatan rakyat. Ini akan dapat direalisasikan melalui penanaman hasil hutan bukan kayu pada skala komersial.

Sejajar dengan perubahan masa, usaha ke arah mengoptimumkan nilai tambah hutan perlu dipertingkat. Melalui R&D dan teknik pengusahasilan yang lebih cekap, membolehkan pengeluaran hasil secara single product yang diamalkan suatu masa dahulu dikembangkan kepada skop yang lebih luas meliputi pelbagai pengeluaran hasil hutan secara multi-product. Dengan yang demikian, ia memberi nilai tambah kepada produk-produk hutan maka nilai ekonomi sumber hutan itu akan menjadi lebih tinggi.

Isu pemanasan global kini semakin mendapat perhatian dunia yang mana hutan menjadi carbon sink yang berkesan. Pengurusan hutan terutamanya hutan tropika seperti di negara kita sering mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Dalam hubungan ini, Kerajaan melalui Jabatan Perhutanan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan terus mempergiatkan usaha ke arah pencapaian matlamat pengurusan hutan secara berkekalan (sustainable forest management - SFM).

Sesungguhnya, perkhidmatan hutan penting dalam penstabilan dan kawalan alam sekitar, pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi, kawasan tadahan air, stok karbon serta sumber bekalan genetik flora dan fauna. Di Malaysia, terdapat seluas 14.43 juta hektar kawasan hutan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Usaha-usaha terus diperhebat untuk memastikan sumber hutan terus terpelihara dan fungsinya sebagai pengeluaran barangan dan perkhidmatan hutan dapat dikekalkan. Dalam konteks ini, peluang juga terbuka luas untuk kita memanfaatkan sumber hutan sebagai destinasi ekopelancongan dan juga aktiviti menghargai alam semulajadi.

Pemeliharaan kepelbagaian biologi dan kewujudan simpanan stok karbon yang tinggi di negara ini, misalnya, juga boleh dijadikan salah satu sumber pendapatan ekonomi yang mempunyai nilai yang tinggi sekiranya sumber tersebut dapat dipasarkan di pasaran antarabangsa bagi tujuan pemeliharaan persekitaran global. Pengiktirafan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang dikategorikan sebagai mega-diversity tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak dapat menjana sebarang sumber ekonomi kepada Malaysia.

Kebergantungan terhadap hasil kayu-kayan semata-mata seharusnya dikurangkan dan sumber ekonomi hutan yang lain harus dikembangkan serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi masa kini dan akan datang.Pengalaman kita telah menunjukkan bahawa SFM “is a costly endeavour but nonetheless we will soldier on”.

No comments: