Wednesday, February 11, 2009

Sumber Hutan Untuk 1Malaysia

Hutan memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara sejak dahulu lagi. Hutan telah membekalkan kita semua dengan sumber makanan yang cukup mewah, menyimpan dan menghasilkan herba untuk tujuan rawatan dan perubatan. Hutan juga menjadi tonggak utama dalam penstabilan ekosistem terutamanya dalam menangani isu perubahan iklim. Adalah penting bagi kita untuk look beyond the trees kerana sumber hutan bukan sahaja merangkumi kayu-kayan bahkan juga hasil hutan lain yang turut menyumbang dalam penjanaan pendapatan negara selama ini.

Hasil hutan bukan kayu seperti herba dan tumbuhan ubatan, rotan dan buluh, buah-buahan, ulam-ulaman dan ornamental mempunyai nilai yang signifikan. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk kita memberi perhatian serius terhadap khazanah-khazanah berharga ini dan memastikan agar pengeluarannya diuruskan secara berkekalan bagi menjamin bekalan yang berterusan. Di samping itu, peningkatan nilai ekonomi dari produk bukan kayu akan dapat meningkatkan pendapatan rakyat. Ini akan dapat direalisasikan melalui penanaman hasil hutan bukan kayu pada skala komersial.