Thursday, April 18, 2013

PERHIMPUNAN BULANAN NRE

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT DATO’ SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS
MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
DI MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN NRE
BERTEMPAT DI DEWAN BAIDURI

PADA 22 MAC 2012


Terima kasih pengacara majlis.

Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof,
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ Timbalan Ketua Setiausaha;

Yang Berbahagia Dato-Dato’ Ketua-Ketua Pengarah;

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian;

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.


1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak urus setia yang telah sudi menjemput saya hadir di perhimpunan bulanan bersama warga NRE pada pagi ini dan menyampaikan sedikit amanat. Saya amat gembira melihat kehadiran YBhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian ke Majlis Perhimpunan ini yang mencerminkan keprihatinan dan komitmen kepada tuntutan tugas dan tanggungjawab kita dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negara.

2. Tanggal 27 Mac 2012, genap lapan tahun penubuhan NRE. Berbanding dengan kementerian-kementerian lain, NRE bolehlah dianggap sebagai salah satu kementerian yang masih muda, namun tugas dan tanggungjawab NRE serta jabatan-jabatan di bawahnya adalah sangat besar dan begitu mencabar.

3. Dalam melaksanakan tanggungjawab penjagaan alam sekitar, kita di NRE perlu mengambil kira keperluan sumber-sumber asli dan alam sekitar dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur pembangunan sosio-ekonomi negara. Justeru itu bagi mengimbangi keperluan masyarakat kita dan penjagaan alam sekitar, kita di kementerian bolehlah diibaratkan ‘menarik rambut dalam tepung’, di mana kita perlu pastikan rambut yang ditarik tidak putus dan tepung tidak berselerak. Apa jua tindakan yang diambil, kita perlu pastikan agar ia selari dengan misi dan visi NRE.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.

4. Dengan sokongan padu daripada YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha serta YBhg. Dato’-Dato’ Ketua-Ketua Pengarah saya berkeyakinan kita mampu membawa NRE ke puncak kejayaan asalkan kita bersatu hati berusaha bersama-sama membawa agenda negara berhubung isu-su pengurusan sumber asli dan alam sekitar negara dengan semangat 1 NRE. Dalam laporan ‘World Bank Ease of Doing Business 2012’, pada keseluruhannay Malaysia menduduki tempat ke 18 daripada 183 negara berbanding dengan tempat 23 pada tahun 2011. Laporan ini menganalisa peraturan-peraturan dan undang-undang yang menggalakkan dan mengekang aktiviti perniagaan melibatkan 10 indikator Antara indikator ini termasuk memulakan perniagaan (starting a business); pendaftaran hartanah; mendapatkan pinjaman; perlindungan ke atas pelabur; penguatkuasaan kontrak; dan penyelesaian insolvensi. Indikator-indikator di mana terdapat peningkatan bagi kedudukan Malaysia ialah:
  • Memulakan perniagaan – daripada 111 kepada 50
  • Penyelesaian insolvensi – daripada 57 kepada 47
  • Penguatkuasaan kontrak – daripada 60 kepada 31
  • Kemudahan bekalan elektrik – daripada 60 kepada 59
Dalam indikator pendaftaran hartanah, kedudukan Malaysia tidak berubah, iaitu kekal di tangga 59. Saya yakin kita berpotensi untuk mencapai kedudukan yang lebih baik jika kita ‘think and do beyond the ordinary’ dalam melaksanakan polisi kerajaan yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

5. Negara kita di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri juga telah menduduki tempat ke 21 mengikut laporan Global Competitiveness Report 2011-2012 (GCR 2011-2012) berbanding dengan kedudukan 26 pada tahun sebelumnya . Peningkatan ini berdasarkan elemen-elemen kukuh ekonomi negara yang ketara dalam persekitaran makroekonomi dan kecekapan pasaran ekonomi. Dalam aspek ini, Malaysia telah mengatasi negara-negara seperti UAE, New Zealand, Korea Selatan dan Luxembourg. Kita berjaya mencapai kedudukan yang membanggakan ini menerusi kepimpinan yang bervisi yang berani melaksanakan pelbagai program untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan dan ekonomi negara.

6. Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Model Baru Ekonomi Dan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMKe-10) merupakan agenda-agenda utama negara yang telah diatur dengan begitu terancang dan komprehensif yang memerlukan penghayatan dan kerjasama jitu daripada semua pihak. Dalam aspek ini, NRE terlibat dengan salah satu projek ETP bagi Greater Kuala Lumpur iaitu ‘River of Life’ yang merupakan satu usaha memulihara Sungai Klang untuk dijadikan pusat warisan dan komersil. Di sinilah kita di NRE perlu menggerakkan ‘machinery’ kita dalam menjayakan semua agenda kerajaan yang saya sebutkan tadi. Bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan kita menuju matlamat tersebut, tugas dan tanggungjawab yang dipikul itu semakin hari semakin mencabar sejajar dengan peredaran masa di mana isu-isu sumber asli dan alam sekitar khususnya semakin mendapat tempat bukan sahaja dibincangkan di peringkat global bahkan juga di peringkat tempatan. Ini boleh dilihat dalam paparan media setiap hari.

7. Sehubungan itu, sudah tiba masanya kita bersama-sama mentransformasikan pengurusan tanah, biodiversiti, hutan, sumber air, mineral dan alam sekitar kita. Kita sering kali dikejutkan dengan isu-isu berhubung pengurusan sumber asli dan alam sekitar yang perlu kita tangani dengan kaedah lebih terbuka, inovatif, kreatif dan berlandaskan konsep’ value for money’. Amalan lapuk, kerenah birokrasi dan sikap ‘wait for tragedy to happen’ perlu disisihkan dalam menjayakan segala agenda pembangunan negara. Kita perlu tampil ke hadapan dan ‘engage’ dengan semua ‘stakeholder’ kita sebelum melaksanakan sesuatu polisi selaras dengan seruan YAB Perdana Menteri.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.

8. Pada hari ini juga, warga NRE boleh berbangga apabila usaha-usaha pengurusan sumber asli dan alam sekitar yang dilaksanakan oleh Kementerian melalui Jabatan-Jabatannya telahpun diabadikan dalam bentuk penerbitan. Saya telah dimohon untuk menyempurnakan majlis pelancaran penerbitan dua buah Coffee Table Book yang berjudul Bountiful Malaysia dan Rimba Bidor - A Gift To Nature serta sebuah buku panduan iaitu Garis Panduan Aktiviti Mencari gali dan Pengkuarian Dalam Hutan Simpan Kekal yang kesemuanya mempunyai hubung kait yang rapat dengan Misi dan Visi Kementerian ini. Saya turut berbangga apabila YBhg Dato’ KSU sendiri menerajui penerbitan -penerbitan seumpama ini dan menjadi pencetus idea kepada penerbitan Coffee Table Book, Bountiful Malaysia dan Rimba Bidor - A Gift To Nature.

Tahniah Yang Berbahagia Dato’.

9. Usaha-usaha penerbitan ini adalah merupakan satu usaha yang baik bukan sahaja bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai sesuatu perkara malah ia bolehlah dijadikan sebagai bahan rujukan dan panduan di masa hadapan. Selain daripada itu, usaha-usaha ini juga dapat mempromosi aktiviti-aktiviti Kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru agar usaha-usaha penerbitan ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa hadapan dan dijadikan medium bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat di luar sana terhadap tugas-tugas kita di NRE.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.

10. Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana sepanjang menerajui NRE banyak kejayaan yang telah dapat dicapai sama ada di peringkat Kementerian mahupun Jabatan. Antara kejayaan-kejayaan terbaharu yang telah dicapai termasuklah:-
• Malaysia berjaya mencatat kedudukan terbaik dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di rantau Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 negara seluruh dunia. Pada tahun 2010, EPI Malaysia berada pada kedudukan 54 di kalangan 163 negara seluruh dunia dan keenam di rantau Asia Pasifik. Antara aspek yang dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberi kesan kepada hidupan. Di rantau Asia Pasifik, New Zealand berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia. Manakala pada peringkat dunia, EPI Malaysia berada setaraf dalam kumpulan negara berprestasi EPI terbaik setanding Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun. Berdasarkan petunjuk dikeluarkan, prestasi Malaysia berada pada kedudukan amat baik daripada segi kesan udara kepada kesihatan manusia iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).

• Selain daripada itu NRE juga telah berjaya menjadi salah satu kementerian yang berjaya menyelesaikan 100 peratus aduan yang diterima melalui Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri bagi tahun 2011. Pengurusan aduan yang cekap adalah amat penting bukan sahaja bagi tujuan penyelesaian masalah berkaitan dengan kementerian dan jabatan yang dihadapi oleh orang ramai bahkan ia boleh dijadikan garis panduan bagi meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kita. Syabas diucapkan kepada pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung bagi menyelia aduan-aduan di NRE.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian

11. Bersesuaian dengan tema perhimpunan bulanan kita pada hari ini iaitu Pengurusan Sumber Asli dan dan Penghayatan Alam Sekitar, marilah kita bersama-sama merenung sejenak apakah yang telah kita lakukan sebagai warga NRE, sebuah kementerian yang menjadi ‘focal point’ di dalam pengurusan sumber asli dan alam sekitar negara. Program Rakan Alam Sekitar, Kempen Menanam 26 Juta Pokok, Dasar Mineral Negara 2 (DMN2), Dasar Perubahan Iklim Negara, NRE goes Green dan Akta Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Kita telah melancarkan pelbagai program, kempen dan dasar, tetapi persoalannya di sini ‘are we on track’? Itulah cabaran kita di NRE sebab semua program, dasar dan kempen kita berdasarkan pada’outcome’ dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk melaksanakannya dengan penuh komitmen, integriti dan kebijaksanaan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian

12. Kita di NRE mempunyai banyak sambutan untuk diraikan sepanjang tahun. Pada bulan Mac ini sahaja kita akan menyambut dua sambutan penting iaitu Sambutan Hari Hutan Sedunia dan juga Sambutan Hari Air Sedunia. Sambutan Hari Hutan Sedunia telah mula diadakan pada 21 Mac setiap tahun bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan hutan dan manfaat yang diperoleh darinya. Tahun ini Sambutan Hari Hutan Sedunia akan diadakan pada 21 Mac 2012 bertempat di Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Taiping, Perak.

13. Manakala Sambutan Hari Air Sedunia pula telah mula disambut pada 22 Mac setiap tahun bermula 1993 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 22 Mac sebagai Hari Air Sedunia. Pada tahun ini, Sambutan Hari Air Sedunia akan diadakan pada Sabtu ini, 24 Mac 2012 bertempat di Dataran Sungai Kerian, Parit Buntar, Perak dengan tema Air dan Jaminan Makanan yang akan disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian

14. Sesungguhnya jika kita bersatu hati, berazam bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, saya yakin kita akan berjaya memperolehinya. Walaupun banyak kejayaan serta program yang telah dijalankan sama ada di peringkat Jabatan, Kementerian mahupun Kebangsaan, perjalanan kita masih jauh lagi. Masih banyak ruang dan peluang untuk kita menjadi memperbaiki mutu perkhidmatan penyampaian kita kepada rakyat.

15. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (PASPI), Unit Undang-Undang dan Unit Komunikasi Korporat NRE yang menjadi hos perhimpunan bulanan kita pada pagi ini serta pihak urusetia yang telah sudi menjemput saya hadir ke dan menyampaikan ucapan.

16. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Zoal Azha bin Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, YBhg. Ketua-Ketua Pengarah Jabatan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian warga NRE di atas segala bantuan dan kerja sama yang telah diberikan kepada saya selaku Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi tempoh empat tahun yang lalu. Bersama-samalah kita meningkatkan tekad dan usaha agar visi, misi dan objektif Kementerian ini dapat dicapai oleh kita semua.

Terima kasih kepada hadirin yang telah sudi melapangkan masa hadir di majlis perhimpunan NRE pada pagi ini.

Sekian terima kasih.