Wednesday, January 16, 2013

PERUTUSAN TAHUN BARU 2013 MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

PERUTUSAN TAHUN BARU 2013
MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Selamat Tahun Baru kepada semua warga NRE dan jabatan/agensi di bawah NRE. Semoga tahun 2013 membawa kebahagiaan dan kejayaan kepada kita semua.

Tahun 2012 telah pun meninggalkan kita. Sepanjang 12 bulan yang lalu kita telah melalui pelbagai pengalaman. Saya yakin semua peristiwa tersebut akan menjadi pengajaran dan panduan bagi menghadapi tahun 2013 ini.

Sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana sepanjang tahun lalu negara yang kita cintai aman, rakyatnya bersatu padu dan ekonominya berkembang dengan pesat. Ini semua menunjukkan negara kita berada di landasan yang betul menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Di kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada semua warga NRE dan jabatan/agensi di atas sumbangan mereka ke arah menjayakan semua program Kementerian sepanjang tahun 2012. Semua kejayaan yang dicapai oleh Kementerian adalah hasil usaha semua. Saya berharap bahawa komitmen ini akan diteruskan pada tahun 2013.

Pada tahun 2012, kedudukan negara dalam Global Environmental Index telah meningkat ke tangga 24 dari tangga 54 pada tahun 2011. Ini adalah bukti nyata bahawa pengurusan alam sekitar adalah di landasan yang betul. Cabaran kepada semua warga NRE adalah untuk meneruskan usaha itu pada tahun 2013 supaya kedudukan tersebut dapat diperbaiki lagi dan sekaligus menggambarkan kejayaan Kementerian dalam pengurusan alam sekitar yang mampan. Usaha tersebut adalah cukup mencabar. Bagi menentukan usaha tersebut berjaya, tiga syarat perlu diwujudkan. Pertama, kewujudan undang-undang yang cukup mantap. Kedua, langkah-langkah penguatkuasaan yang efektif. Ketiga, semua usaha memelihara dan memulihara alam sekitar mesti disokong oleh semua lapisan masyarakat.

NRE sememangnya mempunyai undang-undang yang mantap khasnya selepas Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Hasil pindaan akta tersebut ialah hukuman yang lebih berat akan dikenakan terhadap jenayah berkaitan alam sekitar. Justeru, Kementerian berharap jenayah berkaitan alam sekitar akan berkurangan.

Di samping itu, Kementerian turut berjaya menubuhkan 1NRE Enforcement Team atau 1NET. Harapan saya agar 1NET dapat membantu memperkukuh usaha menguatkuasa undang-undang dan peraturan bagi memastikan pengurusan dan pemuliharaan sumber asli dan alam sekitar secara lestari. Marilah kita bekerjasama menjayakan 1NET!

Kementerian juga telah menubuhkan 222 jawatankuasa Rakan Alam Sekitar (RAS) di seluruh negara. Saya menyeru agar usaha bagi menambah keahlian RAS termasuk di kalangan NGO dan korporat dilipat gandakan. Di samping itu, program dan aktiviti RAS harus dipertingkatkan sejajar dengan matlamatnya iaitu bagi menggalakkan penglibatan semua rakyat Malaysia dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, semua warga NRE perlu mengamalkan prinsip-prinsip seperti kecekapan, ketepatan, integriti, produktiviti, inovasi dan kreativiti yang telah digariskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Apa yang paling penting ialah kita harus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Pada tahun 2013 ini, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan iltizam untuk membawa NRE dan negara ke mercu kejayaan yang lebih tinggi ke arah pengurusan sumber asli dan pemuliharaan alam sekitar yang berkekalan.

Selamat Menyambut Tahun Baru.

DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar