Ucapan
Yang Berhormat Dato Sri Douglas Uggah Embas
Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar
Majlis Pelancaran
Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat
Kebangsaan 2012
Di Taman Tasik Titiwangsa
Kuala Lumpur
21 Oktober 2012
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar
YB Ahli Exco Alam Sekitar
Y. Bhg. Datuk Zoal Azha bin Yusof
Ketua Setiausaha
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Y.Bhg. Dato’ Haji Ahmad Phesal Talib
Datuk Bandar Kuala Lumpur
Yang Bhg. Datuk Dr. Abdul Rahim bin Hj Nik
Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia
Y. Berusaha Puan Halimah Hassan
Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia
Ketua – Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri,
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,
Selamat pagi, Salam Sejahtera dan salam 1 Malaysia,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas jemputan untuk saya merasmikan pelancaran Minggu Alam Sekitar Malaysia 2012 Peringkat Kebangsaan pada pagi ini. Ini adalah Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia kali ke-21. Tema sambutan pada tahun ini ialah “Terima Kasih di atas Sumbangan Anda.” Ini adalah tanda penghargaan kepada anda semua dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung dalam usaha memulihara alam sekitar. Tanpa komitment dan penglibatan anda semua matlamat untuk mencapai alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi masa kini dan masa hadapan adalah sukar untuk dicapai.
Hadirin sekalian
Mengikut Environmental Performance Index (EPI) yang diwujudkan oleh Universiti Yale dan Columbia, yang mengukur prestasi setiap negara dan menetapkan kedudukannya di peringkat global dalam pengurusan alam sekitar, Malaysia adalah di tangga ke 25 bagi tahun 2012. Ini adalah satu peningkatan baik yang membanggakan, iaitu daripada tangga ke 54 pada tahun 2010.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang merangka EPI peringkat kebangsaan kita tersendiri. Adalah diharapkan dengan adanya EPI kebangasaan ini dapat mengalakkan persaingan sihat antara negeri-negeri untuk meningkatkan prestasi pengurusan alam sekitar.
Hadirin sekalian,
Untuk memacu negara ke arah negara maju menjelang 2020, melalui pembangunan yang lestari dengan mengambil kira Happiness Index yang telah diperkenal Kerajaan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar serta agensi-agensi di bawahnya sentiasa berusaha dan komited dalam melaksanakan program-program kesedaran alam sekitar yang disasarkan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat. Tumpuan turut diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah seawal di peringkat kanak-kanak prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat institusi pengajian tinggi.
Program Rakan Alam Sekitar (RAS) juga telah diperkenalkan. Program ini merupakan satu program yang membolehkan masyarakat bekerjasama dengan kerajaan dalam mengawal pencemaran alam sekitar dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat. Saya difahamkan pada sambutan pagi ini ramai di kalangan ahli RAS yang turut hadir. Saya juga menyeru kepada yang belum menjadi ahli supaya tidak teragak agak untuk menjadi ahli. Sebagai ahli RAS anda boleh memainkan peranan yang bermakna dalam usaha bersama memulihara alam sekitar. Sila rujuk kepada Facebook RAS untuk mendapatkan pengumuman-pengumuman dan program-program yang dilaksanakan.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas penglibatan sektor swasta, GLC’s dan korporat yang juga telah menjayakan pelbagai program kesedaran alam sekitar melalui program-program Corporate Social Responsibility (CSR) mereka. Saya cadangkan mereka melibatgandakan sumber bagi usaha ini dan bersama-sama pihak NGO’s melaksanakan program-program kesedaran alam sekitar secara meluas melibatkan semua lapisan kumpulan sasaran.
Hadirin sekalian,
Isu-isu alam sekitar semakin hari menjadi semakin mencabar. Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, pengurangan sumber semulajadi dan sebagainya, telah mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan kepada alam sekitar.
Sehubungan dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan garispanduan serta menguatkuasakan pelbagai undang-undang berkaitan dengan alam sekitar. Dasar, garis panduan dan program ini perlu dijadikan panduan kepada semua pihak termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan sumber semulajadi digunakan secara lestari dalam usaha pembangunan negara di samping alam sekitar kita dipelihara.
Dalam usaha yang berterusan untuk mencapai pembangunan secara lestari Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974 telah di pinda supaya Akta ini terus menjadi releven menangani isu-isu alam sekitar semasa yang menjadi semakin kompleks. Pindaan tersebut telah diwartakan pada 16 Ogos 2012 dan buat masa ini Jabatan Alam Sekitar sedang membuat persediaan untuk penguatkuasaan pindaan ini mulai 2 Januari 2013.
Pindaan Akta ini memberi fokus kearah memantapkan Pengurusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan mekanisma penguatkuasaan supaya projek-projek pembangunan yang diperlukan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa menjejaskan kualiti alam sekitar, kesihatan dan kesejateraan awam.
Sidang hadirin sekalian.
Antara akitiviti yang dijalankan pada hari ini adalah aktiviti kitar semula. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menarik perhatian semua terhadap kepentingan kitar semula dan pengurusan buangan e-waste. E-waste sekiranya tidak diuruskan secara mesra alam akan memudaratkan alam sekitar dan kesihatan awam. Ini adalah kerana ia mengandungi kandungan logam berat yang berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar. E-waste disenaraikan sebagai salah satu daripada Buangan Terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (BuanganTerjadual) 2005. Malalui peraturan ini, Malaysia telah berjaya mengendalikan e-waste yang dijana daripada sektor industri dengan cara yang mesra alam. Walau bagaimanapun, pengurusan e-waste dari isi rumah (household e-waste) adalah lebih kompleks. Ia memerlukan sistem koleksi buangan yang berkesan dan cekap. Secara purata, dianggarkan Malaysia menjana kira-kira 700,000 tan e-waste daripada entiti perniagaan, isi rumah dan sektor institusi setahun. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem pengumpulan, pengasingan dan kitar semula e-waste bagi menguruskan e-waste ini secara mesra alam. Jabatan Alam Sekitar dan JICA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang sedang melaksanakan projek perintis kutipan buangan e-waste dari isi rumah. Projek ini bertujuan membangunkan sistem kutipan e-waste dari isi rumahyang sesuai dan berkesan. Projek perintis ini akan digunakan sebagai asas untuk merangka polisi dan perundangan jika perlu dan akan dijadikan sebagai model untuk dikembang kepada seluruh negara kemudianya.
Adalah diharapkan satu polisi dapat dirangka dalam masa terdekat untuk pengurusan household e-waste agar ianya dapat diuruskan secara mesra alam dan tidak memudaratkan alam sekitar dan kesihatan awam.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Saya mendapati pada hari ini, berbagai-bagai aktiviti diadakan sempena sambutan MASM 2012. Semenjak awal pagi tadi telah diadakan acara Enviro-Run 2012. Saya dimaklumkan acara ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, di mana seramai kira-kira 3000 peserta mengambil bahagian. Saya juga dimaklumkan seramai kira-kira 5000 orang telah mengambil bahagian dalam acara senam robik. Di samping itu acara pertandingan memancing juga, sedang berlangsung dimana 1500 orang turut melabuhkan joran di dalam Tasik Titiwangsa ini. Saya berharp warga Malaysia akan terus dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemenang acara Enviro-Run 2012. Kepada yang tidak menang janganlah putus asa kerana saya difahamkan pihak penganjur menyediakan banyak hadiah cabutan bertuah. Tuan-tuan dan puan-puan mungkin menjadi orang yang bertuah memenangi cabutan bertuah tersebut.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program Minggu Alam Sekitar Malaysia pada tahun ini. Semoga sokongan dan kerjasama yang terjalin ini akan terus berkekalan demi kesejahteraan dan keharmonian sejagat.
Dengan itu saya merasmikan sambutan Minggu Alam Sekitar peringkat Kebangsaan 2012.
Sekian, Terima kasih.