1. Di peringkat global, teknologi GIS ini telah berkembang dan telah diguna pakai dalam menyelesai pelbagai isu kompleks yang dihadapi di seluruh dunia. Teknologi ini digunakan secara berkesan dalam bidang-bidang seperti pertahanan, pembangunan infrastruktur, pembangunan luar bandar, pengurusan sumber asli dan tanah serta pemeliharaan alam sekitar. GIS juga digunakan secara meluas untuk pemantauan kejadian-kejadian bencana alam seperti banjir, gempa bumi, pemanasan global dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, penggunaan maklumat geospatial secara optimum adalah merupakan salah satu aspek utama yang diyakini akan dapat membantu menangani permasalahan dengan lebih cekap dan berkesan serta pantas.
2. Dalam hubungan ini, sukacita saya berkongsi pengalaman mengenai lawatan teknikal saya bersama Lembaga Jurukur Tanah Semenanjung Malaysia ke negara Belanda pada bulan Mei yang lalu. Saya telah berpeluang melawati satu organisasi yang dikenali ‘Dutch Kadaster’ di mana penggunaan data geospatial yang optimum di dalam GIS dalam memantau aspek pembangunan negara. Sistem GIS yang dibangunkan di sana mampu memantau aktiviti-aktiviti pembangunan secara on-line dan real-time. Sebagai contoh, terdapat hampir 3,000 aktiviti korek-mengorek tanah bagi tujuan pepasangan utiliti bawah tanah yang berjalan di seluruh negara Belanda dan ianya dapat dipantau setiap hari secara on-line dan real-time di Pusat Kawalan Dutch Kadaster. Operator di Dutch Kadaster yang memantau aktiviti korek-mengorek ini mengetahui maklumat terperinci bila aktiviti akan bermula, bila akan selesai, berapa jam diperlukan untuk menutup laluan jalan sekiranya perlu dan lain-lain lagi. Inilah yang dikatakan sebagai “SPATIALLY ENABLED GOVERNMENT” di mana semua maklumat geospatial dapat digunakan dengan berkesan dalam semua aspek sama ada untuk pembangunan negara atau pun mengawal bencana alam seperti projek ‘flood mitigation’, kebakaran dan lain-lain lagi.
3. Apakah rahsia di sebalik kejayaan Negara Belanda menjadikan “SPATIALLY ENABLED GOVERNMENT” (SEG) dan juga “SPATIALLY ENABLED SOCIETY” (SES) ini ? Saya rasa rahsia kejayaan ini adalah tidak lain tidak bukan dengan penggunaan data geospatial secara optimum yang mungkin, di mana data-data ini dapat dikongsi dan diintegrasikan oleh agensi-agensi yang mempunyai data geospatial melalui satu platform yang dipanggil Spatial Data Infrastructure atau SDI. Saya difahamkan bahawa negara Belanda juga mempunyai perundangan yang khusus untuk geospatial yang mana ia mengawal dan menggalakkan perkongsian data geospatial di kalangan Agensi Kerajaan, swasta dan pengguna.
4. Memandangkan faedah dan manfaat teknologi GIS amat meluas, maka negara kita juga harus terus membangunkan teknologi ini untuk menghadapi pelbagai cabaran masa kini dan masa akan datang. Teknologi GIS sudah pasti mempunyai potensi yang besar dalam membantu merangsangkan lagi pembangunan negara. Terutamanya, saya yakin ia akan memudahkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai program untuk mencapai sasaran-sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di pelbagai peringkat Kerajaan serta matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), model Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10.
5. Penggunaan GIS secara meluas oleh agensi-agensi Kerajaan berupaya membawa perubahan yang nyata dan berkesan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran. Melalui penggunaan GIS, ia dapat membantu kerja-kerja perancangan dan pentadbiran maklumat berkaitan dengan harta tanah, perhutanan, pertanian, alam sekitar, pengangkutan, bencana alam, kawalan wabak penyakit, pemantauan kejadian jenayah dan lain-lain. Malah yang paling utama, penggunaan GIS merupakan satu lonjakan besar dalam gerakan kualiti dan usaha mewujudkan perkhidmatan lebih berkesan dan bersistematik.
6. Dalam usaha menangani cabaran negara ketika ini, saya ingin menarik perhatian ke atas keprihatinan kerajaan mengenai isu alam sekitar termasuk pemanasan global dan bencana alam. Isi-isu ini perlu ditangani dengan bijaksana menggunakan kepakaran dan teknologi termasuk teknologi GIS, di samping menggunakan instrumen-instrumen lain seperti penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian strategik alam sekitar (SEA) serta analisis kos faedah untuk menilai dan mengurangkan impak aktiviti pembangunan terhadap penduduk dan alam sekitar.
7. Saya amat gembira untuk melihat negara kita juga sedang mengorak langkah menuju ke arah SEG dan SES. Pelbagai agensi Kerajaan seperti JUPEM, Jabatan Pertanian, Agensi Remote Sensing Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta dan lain-lain telah lama terlibat dalam penggunaan teknologi GIS. Pada tahun 1997, NaLIS (National Infrastructure for Land Information System) telah ditubuhkan bagi memudahkan perkongsian data di kalangan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah. Seterusnya pada tahun 2002, MaCGDI (Malaysia Centre for Geospatial Data Infrastructure) ditubuhkan bagi menggantikan Unit NaLIS memandangkan peranan dan tanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur data geospatial semakin meluas dan mencabar.