Dalam usaha kita membangunkan negara adalah penting bahawa kita melaksanakan pembangunan yang seimbang. Kejadian-kejadian kemarau dan banjir yang lebih kerap, perubahan cuaca serta kenaikan paras laut memberi indikasi bahawa dunia sedang mengalami perubahan iklim. Maka kita sebagai warga bumi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bumi ini sentiasa terpelihara. Negara kita terus komited dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta flora dan fauna diberi perhatian di dalam kepesatan pembangunan. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak dan ke arah itu pelbagai kempen akan terus diadakan agar rakyat Malaysia dapat turut serta dalam usaha untuk memelihara alam sekitar dan salah satu kempen yang akan dilaksanakan adalah Kempen Menanam 26 Juta Pokok.
Kempen Menanam 26 Juta Pokok telah diadakan pada 22 April 2010 bersempena dengan Hari Bumi Sedunia. Tarikh ini juga merupakan ulang tahun Hari Bumi Sedunia Ke-40 yang disambut di seluruh dunia. Kita tidak mahu ketinggalan dalam menjadi sebahagian daripada masyarakat dunia dalam memelihara dan memulihara dunia ini untuk kesejahteraan hidup masa kini dan juga pada masa akan datang. Dengan mengadakan kempen ini, saya berharap ia dapat memupuk semangat cintakan kehijauan pokok-pokok dan meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar di hati setiap lapisan masyarakat Malaysia. Sebagai permulaan, sebanyak 16,200 pokok akan ditanam di seluruh Malaysia pada 22 April 2010. Aktiviti ini akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun sehingga tahun 2014. Untuk mencapai sasaran 26 juta pokok, kita perlu sama-sama berganding bahu dan bersatu tenaga bagi mencapai sasaran tersebut. Sekiranya setiap penduduk Malaysia menanam satu pokok, kita mampu mencapai sasaran 26 juta pokok. Marilah kita bersama Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok.