Thursday, April 28, 2011

Sistem Penuaian Air Hujan di Rumah Panjang Bair



Air merupakan keperluan hidup yang utama sama ada kepada manusia, haiwan mahupun tumbuhan. Manusia boleh hidup tanpa makanan dalam satu jangka masa yang agak panjang namun jika ketiadaan air, agak sukar untuk meneruskan kehidupan.

AMALAN MENGUMPUL AIR HUJAN

Sedar atau tidak, di Malaysia, amalan penuaian air hujan sebenarnya telah lama diamalkan oleh masyarakat kita dahulu. Contohnya, amalan mengumpul air hujan dari bumbung rumah ke dalam tempayan atau bekas tembikar semasa hujan. Air yang dikumpulkan akan digunakan sebagai air mencuci kaki dan menyiram tanaman. Tetapi malangnya, amalan penyimpanan air hujan seakan-akan telah dilupakan oleh masyarakat kita hari ini setelah wujud sistem paip bekalan air kerajaan.
Sebelum adanya sistem paip bekalan air kerajaan ke rumah panjang ini, penduduk rumah panjang ini terpaksa mengangkut air dari sungai untuk kegunaan seharian di rumah. Kemudiannya, pihak kerajaan telah menyediakan sistem pam yang menyalurkan air dari sungai dan terus ke rumah panjang. Namun begitu, kerana ketiadaan kuasa elektrik, generator yang kehabisan diesel menyebabkan pam tersebut tidak berfungsi dan bekalan air ke rumah terhenti. Maka timbullah konsep penuaian air hujan bagi menampung masalah bekalan air di rumah panjang ini.

PERCUBAAN SISTEM PENUAIAN AIR HUJAN

Oleh yang demikian, NAHRIM telah memasang satu sistem penuaian air hujan yang sistematik bagi seluruh Rumah Panjang Bair ini bagi membuktikan keberkesanan konsep ini yang telah diguna pakai pada sekian lama oleh orang-orang kampung dalam menyelesaikan masalah sumber air mereka. Setelah sistem ini melepasi tempoh percubaan di Rumah Panjang Bair, data yang didapati membuktikan hujan yang turun di kawasan ini cukup untuk membekalkan 2000 liter sehari bagi kegunaan seperti mencuci, sistem tandas dan mandi.

IMPAK TERHADAP KEHIDUPAN MASYARAKAT

Sistem yang dipasang oleh NAHRIM diselia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak ianya membawa kebaikan jangka panjang kepada penduduk rumah panjang ini. Dalam rangka penyelidikan, pihak NAHRIM dan juga JPS membuat pemantauan kuantiti dan kualiti air hujan sistem ini.

• Pertama - penduduk rumah panjang tidak lagi menghadapi masalah bekalan air melainkan berlaku musim kemarau teruk yang mengeringkan air sungai dan kadar hujan yang turun terlalu sedikit.
• Kedua - kualiti air yang dituai adalah jauh lebih baik serta bebas klorin.
• Ketiga - sistem ini turut dilengkapinya dengan mekanisme ‘first flush’ atau siraman pertama yang memungkinkan atap untuk dibersihkan dan mengasingkan kumpulan hujan yang pertama turun. Siraman air yang pertama ini harus diasingkan kerana ia memerangkap lebih banyak kekotoran dan pencemaran di udara semasa hujan turun ke bumi.
• Keempat - sistem ini dilindungi sepenuhnya dengan penutup tangki yang rapat dan dilengkapi jaring untuk melindunginya daripada dimasuki nyamuk

Akhir sekali, penghuni tidak perlu bersusah-payah mengangkut air dari tangki ke dalam rumah kerana air daripada tangki disalurkan terus ke dalam rumah melalui kepala paip di dapur.

PENYELENGGARAAN YANG KERAP

Justeru Air yang dikumpulkan perlu dikekalkan kualitinya melalui penyelenggaraan secara kerap dan berjadual selepas dipasang. Ini adalah untuk menjamin jangka hayat yang lebih panjang bagi sistem ini di rumah panjang. Oleh demikian, diharapkan penduduk rumah panjang dapat melaksanakan langkah-langkah seperti yang dinyatakan untuk menjamin sistem ini berfungsi dengan baik agar air ini dapat digunakan semaksima mungkin.

Monday, March 28, 2011

Pengurusan Hutan Secara Lestari di Malaysia

Salam 1 Malaysia,,

21 Mac merupakan Hari Perhutanan Sedunia yang disambut di seluruh dunia. Secara tradisinya, Malaysia telah menyambut Hari Perhutanan Sedunia ini saban tahun kerana tidak mahu ketinggalan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan hutan dalam kehidupan seharian. Sambutan Hari Perhutanan Sedunia kali ini amat bermakna kerana tahun 2011 telah diisytiharkan sebagai Tahun Hutan Antarabangsa (International Year of Forests) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pelancaran rasmi Tahun Hutan Antarabangsa di peringkat antarabangsa telah dilancarkan pada 2 Februari 2011 di Ibu Pejabat PBB, New York semasa berlangsungnya Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Sesi Ke-9 Forum Perhutanan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests).


HUTAN UNTUK MASYARAKAT

Tema sambutan Tahun Hutan Antarabangsa iaitu “Hutan Untuk Masyarakat” (Forests for People) memberikan pengertian 360 darjah atau peranan hutan dari pelbagai segi untuk kesejahteraan masyarakat. Justeru, marilah kita menunjukkan keprihatinan serta komitmen yang jitu untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat bagi menyayangi, melindungi dan memelihara khazanah hutan negara. Untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha murni ini, peranan semua pihak samada agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGOs) dan masyarakat setempat adalah amat penting.

Dalam hubungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Johor kerana bersifat proaktif dalam aspek-aspek pemeliharaan sumber hutan seperti penubuhan tiga (3) Tapak Ramsar, yang mana negeri Johor mempunyai bilangan Tapak Ramsar yang terbanyak di negara ini. Tambahan daripada itu, Kementerian juga amat berbangga kerana Negeri Johor juga telah bermurah hati untuk memperluaskan lagi kawasan ekologi koridor melalui projek Central Forest Spine (CFS) di negeri ini, di samping bergiat aktif dalam pemuliharaan harimau melalui Program Tiger Forever. Kerajaan Negeri Johor telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menyokong Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dan telah mengharamkan pemburuan hidupan liar untuk menyokong inisiatif pemuliharaan biodiversiti di negara ini.


MENGUBAH PERSEPSI MASYARAKAT

Perkara pokok yang berada di depan kita adalah untuk mengubah persepsi masyarakat umum terutamanya di peringkat antarabangsa bahawa negara kita tidak mengamalkan pengurusan hutan yang tidak sistematik sehingga menyebabkan pemusnahan dan pengurangan sumber hutan yang tidak boleh dipulihkan semula. Kita mestilah akur bahawa persepsi umum ini agak sukar untuk dihindari kerana masyarakat masa kini lebih bermaklumat dan terbuka kepada pelbagai bentuk medium informasi seperti suratkhabar, media elektronik serta internet seperti email, blog, Google Earth dan bermacam-macam lagi. Oleh yang demikian, usaha-usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk menerangkan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk menangkis persepsi seperti ini. Masyarakat perlu mengetahui bahawa Akta Perhutanan Negara, sebagai contohnya adalah satu instrumen yang penting dalam menguruskan sumber hutan kita secara berkekalan. Dalam pada itu, penggunaan teknologi penderiaan jauh dan pemetaan yang terkini yang terdapat di agensi di bawah kementerian akan turut membantu negara untuk memperolehi data-data sumber hutan yang tepat dan terkini.


CABARAN PENGURUSAN HUTAN MASA KINI

Pengurusan hutan pada masa ini adalah berbeza dari pengurusan hutan pada masa dahulu, pemeliharaan biodiversiti dan pengekalan kestabilan alam sekitar. Pada masa dahulu, pengurusan hutan tertumpu kepada pengurusan hutan untuk mengekalkan pengeluaran sumber hutan secara berkekalan (sustained yield management). Pada masa ini, pengurusan hutan lebih menekankan kepada pengurusan pelbagai sumber (multiple-use management). Perkara pokok cabaran pengurusan hutan hari ini adalah untuk mengatasi persaingan guna tanah di antara pembangunan dan konservasi yang semakin getir. Selain itu, isu-isu pembalakan haram kerap mendapat tempat di dada-dada akhbar merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi bersama kerana isu ini memberikan persepsi yang tidak baik di kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, sejajar dengan pencapaian Wawasan 2020 dan pertambahan penduduk negara pada masa akan datang, pengurusan hutan mestilah mewujudkan keseimbangan (strike a balance) peranan hutan terhadap pembangunan sosio-ekonomi, pengekalan kestabilan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan pengekalan budaya masyarakat. Dasar Perhutanan negara mestilah digubal semula untuk menghadapi cabaran-cabaran ini agar sumber hutan kita dapat diuruskan dengan berkekalan. Di samping itu, sumber-sumber ekonomi baru daripada sumber hutan seperti perkhidmatan ekosistem hendaklah digembeling agar ianya dapat membantu negara. Elemen-elemen tersebut di atas perlu digembeling dan perlu kita galas untuk menongkah cabaran sektor perhutanan.


KOMITMEN NEGARA

Sukalah saya menyatakan bahawa Kerajaan akan terus komited dalam menguruskan sumber hutan kita selaras dengan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management). Litupan luas hutan asli (natural forest) negara pada masa ini adalah pada angka 56.4% daripada keluasan tanah Negara. Ini adalah pencapaian yang signifikan dan menepati sasaran mantan YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio, Brazil pada tahun 1992 untuk memperuntukkan, secara berkekalan, sekurang-kurangnya 50% keluasan tanah negara sebagai kawasan dilitupi hutan dan pokok (forest and tree cover). Komitmen negara tersebut telah turut diulangi oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa Persidangan Antara Parti Mengenai Perubahan Iklim Ke-15, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009. Sesungguhnya, pencapaian ini bukanlah mudah untuk dicapai dan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan-kerajaan Negeri dalam membasmi pembalakan haram, pematuhan Catuan Tebangan Tahunan dan mengekalkan keluasan sumber hutan asli negeri amatlah diharapkan.

Kerjasama Kerajaan Negeri juga amatlah diperlukan agar komitmen-komitmen negara di arena antarabangsa dapat dipatuhi. Dalam perkara ini, kerjasama Kerajaan Negeri juga adalah amat diharapkan agar tiada pengezetan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan keperluan untuk mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diputuskan oleh Majlis Tanah Negara. Kementerian akan terus memantau pematuhan-pematuhan ini secara berterusan. Saya berharap supaya Tahun Hutan Antarabangsa 2011 akan terus disambut dengan penuh kesedaran sepanjang tahun ini di semua peringkat termasuk di negeri-negeri supaya semangat sayangkan hutan dapat dipupuk secara berterusan di segenap lapisan masyarakat.

Tuesday, January 4, 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011

Salam Satu Malaysia.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua penjawat awam NRE dan Jabatan serta Agensi di bawahnya. Sesungguhnya, masa beredar dengan begitu pantas dan kini kita berada di ambang tahun 2011. Telah menjadi kebiasaan apabila tiba tahun baru, kita membina azam baru untuk dijadikan sebagai arah tuju dan panduan kita demi kecemerlangan NRE, Jabatan dan agensinya.

Bagi kita di NRE, secara amnya ia tertumpu kepada usaha untuk terus memperkukuh proses transformasi bagi menerajui sektor pengurusan sumber asli dan alam sekitar peringkat yang lebih tinggi, di samping menjayakan pembangunan sosio-ekonomi Negara. Kita perlulah bersedia untuk mengatasi cabaran dan persaingan global dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga NRE dan semua jabatannya atas kejayaan kita sepanjang tahun 2010, terutama dalam pencapaian sasaran MKRA. Antara kejayaan kita ialah pelaksanaan projek tebatan banjir, pengekalan kualiti udara bersih, penanaman bakau, penyelesaian permohonan pembahagian pusaka kecil di Semenanjung Malaysia dan pengurangan gas-gas rumah hijau.

Kejayaan-kejayaaan lain ialah pendaftaran pindah milik tanah dalam masa 1 hari; pelancaran Dasar Perubahan Iklim Negara; Kempen Menanam 26 Juta Pokok di seluruh negara; kelulusan Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 di Parlimen serta memuktamadkan keperluan-keperluan untuk menguatkuasakan Akta Bioselamatan.

Bagi saya, pencapaian dan kejayaan kita setakat ini adalah baik dan membanggakan. Tetapi sebagai warga NRE yang komited , kita semua harus terus berusaha lagi bagi mempertingkatkan lagi pencapaian agar memperoleh kejayaan yang lebih gemilang lagi pada tahun 2011. Lebih-lebih lagi tahun 2011 merupakan tahun pertama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Bagi tahun 2011 dan seterusnya, NRE juga perlu memperkukuhkan lagi usaha pemantauan dan penguatkuasaan dalam kegiatan-kegiatan di bawah bidang kuasanya. Di antaranya, termasuklah penguatkuasaan kawalan pelepasan asap berlebihan (termasuk asap hitam), pembalakan haram, penyeludupan hidupan liar dan sebagainya. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada warga NRE, khususnya yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan supaya menjalankan tugas dan kewajipan dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi ke arah mempertingkatkan lagi imej positif NRE di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sejajar dengan program transformasi kerajaan, saya berharap warga NRE akan terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memperkayakan pengalaman serta bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam menyumbang kepada budaya kerja berprestasi tinggi. Tentunya kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun, sekiranya kita tetap bersatu hati, berdisplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik, segala cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi akan dapat diatasi selaras dengan konsep 1NRE.

Akhir kata, saya penuh yakin semua penjawat awam NRE, Jabatan dan Agensi dapat menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat demi kegemilangan negara amnya, dan NRE khususnya.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011.



DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS