Friday, August 3, 2012

Projek River Of Life


Projek River Of Life Dijangka Siap Menjelang Oktober 2013


KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Projek "River of Life" (ROL) yang terdiri daripada 14 pakej dan menelan belanja RM400 juta dijadual siap menjelang bulan Oktober tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata projek itu berjalan lancar dan pada masa ini mengikut jadual.


"Kami yakin kesemua 14 pakej akan siap menjelang Oktober tahun depan," kata beliau kepada pemberita semasa lawatan ke tapak Sungai Kelang di sini Selasa.


Beliau berkata projek ROL akan menyaksikan pemuliharaan semula Sungai Kelang dan Sungai Gombak, dan kerja-kerja mencantikkan tebing di sepanjang 10.7 kilometer itu.


"Meskipun banyak isu timbul daripada penempatan semula setinggan tebing sungai, kami berjaya menyelesaikan semuanya menerusi perbincangan dan dialog bagi membolehkan projek itu dilaksanakan dengan lancar," tambah beliau.


-- BERNAMA